Pengenalan
Secara umumnya, seni adalah berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan rohani individu dan juga masyarakat. Seni disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan yang nyata (Martin, 1986 : 12). Hauser dalam tulisannya, berpendapat bahawa seni adalah komunikasi (1959). Dari perspektif pendidikan dapatlah dikaitkan bahawa bidang-bidang pendidikan juga memerlukan estetika seni untuk diketengahkan bagi memudahkan penyampaian sesuatu maksud agar lebih menarik dan mudah difahami. Maka dengan itu lahirlah apa yang dikatakan Seni Dalam Pendidikan.
Seni Dalam Pendidikan (SDP) adalah bidang yang menumpukan kepada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan tanpa merujuk kepada bidang seni lain seperti seni sastera, seni teater, seni fotografi atau seni mempertahankan diri. Seni Dalam Pendidikan diperkembangkan dalam diri murid untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka. Murid diberi peluang menggunakan pancaindera mereka untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti serta daya imaginasi dalam pembelajaran mereka. Selain itu Seni Dalam Pendidikan juga berperanan untuk mengembangkan daya persepsi, estetika dan kreativiti mereka sesuai dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi.
Ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang memberi pandangan menyokong bahawa Seni Dalam Pendidikan akan memberi manafaat dari segi jangkamasa panjang dalam membangunkan sahsiah dan jati diri individu.
Teori Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar melalui pembelajaran secara meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau objek akan dapat mengekspresikan idea secara bebas dan kreatif, kerana adanya unsur-unsur seni dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka. Herman (1991), di dalam “Quadrant Concept” menyatakan bahawa seni dapat membantu pemikiran rasional dan intiutif seseorang individu.
Howard Gardner (1953), menyatakan , sekiranya hanya satu sahaja kaedah atau pendekatan yang digunakan didalam sesuatu pengajaran, hanya murid-murid tertentu sahaja yang boleh mendapatkan bahan yang disampaikan. Ini disebabkan murid mempunyai kebolehan menaakul dan menanggap dalam keadaan yang berbeza. Pendekatan yang berintegrasi dengan pelbagai jenis kecerdasan memudahkan penerimaan murid kepada yang lebih kreatif.
A Kesan-Kesan Positif Seni Dalam Pendidikan
Berdasarkan pandangan daripada tokoh-tokoh yang tersebut di atas tadi dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Seni Dalam Pendidikan mempunyai kepentingan dalam bidang pendidikan. Antara kebaikan atau kesan-kesan positif yang dapag diperolehi dalam penggunaan Seni Dalam Pendidikan ialah :-
A. i Proses pengajaran akan menjadi lebih seronok. Ini disebabkan pengintegrasian tiga mata pelajaran seni akan dapat menarik minat murid. Menurut Russel (1968), matlamat guru sekolah rendah dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, sensitif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstura dan irama. Murid-murid akan mengambil bahagian dalam pembelajaran yang melibatkan berbagai-bagai kemahiran yang disediakan oleh guru. Di samping itu juga mereka dapat melahirkan idea dan kreativiti mereka dengan bebas.
Sebagai contoh, semasa mengajar sesuatu pengajaran yang pertama iaitu lagu ‘burung’, kanak-kanak akan membuat pergerakan seperti burung semasa menyanyi lagu tersebut. Dalam melakukan aktiviti tersebut, kita akan dapat melihat berbagai gaya yang dipersembahkan oleh murid, samada seperti terbang, berjalan, melompat, makan atau sebagainya. Seterusnya kanak-kanak disuruh menghasilkan gambar atau mewarnakan gambar burung. Semasa pembelajaran ini kanak-kanak akan dapat membina konsep kendiri dalam kumpulan rakan sebaya.
A. ii Membantu perkembangan intelek, sahsiah dan sosial murid-murid.
John Dewey (1919), menyatakan ,pendidikan adalah satu proses untuk mengembangkan kecerdasan manusia, sekolah seharusnya memberi kanak-kanak kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelektual iaitu kebebasan untuk melatih kecerdasan melalui seni. Seni yang dimaksudkan adalah seni visual, seni muzik dan seni pergerakan.
Keberkesanan fungsi mata pelajaran seni visual, seni muzik dan seni pergerakan boleh diperhebatkan dengan menjadikannya sebagai medium untuk pengajaran secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh. Dengan adanya proses pembelajaran Seni Dalam Pendidikan murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran pembelajaran yang diajar oleh guru selari dengan perkembangan diri mereka seperti rajah 1 di bawah. Dalam kaedah pengajaran inkuiri penemuan murid-murid diberi peluang meneroka dan mencari sendiri jawapan kepada permasalahan. Peluang inilah yang digunakan oleh murid-murid untuk melahirkan idea dan mendorong mereka menggunakan keupayaan akal dan fizikal untuk menyelesaikan masalah. Secara langsung emosi mereka menjadi berkembang dan begitu juga dengan sosial bila murid-murid ini berinteraksi sesama rakan sebaya dan guru.
Rajah 1: Model Wholistik
Perkembangan Kanak-kanak
Falsafah perkembangan Dewey menekankan bahawa perkembangan emosi, jasmani dan sosial seseorang individu melalui aktiviti-aktiviti bermain dan meneroka sendiri di peringkat sekolah rendah merupakan pengalaman semula jadi yang banyak membantu kanak-kanak dalam pembelajaran mata pelajaran-pembelajaran lain di sekolah.
A. iii Menjadikan guru lebih bermotivasi dan kreatif dalam merancang pengajarannya.
Dengan adanya SDP dalam kurikulum sekolah rendah, pengajaran dan pembelajaran akan lebih menyeronokkan dan penglibatan murid juga adalah baik maka guru-guru akan lebih bersemangat dan kreatif untuk merancang persediaan untuk pengajaran mereka di mana pengajaran yang dirancang akan lebih mencabar serta mengutamakan perkembangan intelek, emosi, psikomotor dan kematangan murid. Sekaligus ini menjadi motivasi dan perangsang kepada guru untuk lebih banyak meneroka kemahiran-kemahiran baru yang sesuai dengan pencapai murid-muridnya. Hasil daripada persekitaran pembelajaran yang baik, guru juga akan dapat meningkat profesionalisma dalam kerjaya mereka. Usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang cemerlang, berilmu dan mantap dari segi sahsiah pada tahun 2020 pasti akan berhasil.
B Penghubungkaitan Pelbagai Bidang dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Penghubungkaitan membawa maksud menghubungkaitkan pelbagai bidang kemahiran dan pengetahuan dari beberapa mata pelajaran dalam ssesuatu pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya penghubungkaitan tersebut pembelajaran akan dapat membantu percambahan pemikiran murid dengan mengaitkan isi pengajaran guru dengan kehidupan seharian mereka. Pengajaran dan pembelajaran yang ada penghubungkaitan ini akan menghasilkan pembelajaran yang lebih efektif. Tujuan penghubungkaitan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk meningkatkan lagi tahap kefahaman belajar murid-murid. Selain itu ia juga boleh membina serta melatih minda murid-murid untuk menjadi lebih aktif dan kreatif sekaligus dapat membantu pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang diajar.
Sebagai contoh, guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual bertajuk ‘Haiwan’. Sebelum murid-murid membuat aktiviti menggambar atau aktiviti membuat rekaan dan corak yang berkaitan dengan haiwan, guru terlebih dulu mencungkil pengetahuan sedia ada murid dengan bersoaljawab beberapa soalan yang mudah dan ringkas. Antara aktviti yang boleh dijalankan ialah menamakan haiwan,mengajuk bunyi haiwan, menyatakan cara pergerakan haiwan, mengelaskan kumpulan haiwan dan sebagainya. Di sini elemen Sains dan seni pergerakan telah dihubungkaitkan. Untuk mengaitkan dengan bahasa dan muzik, guru meminta murid menyanyi mana-mana lagu yang ada kaitan dengan haiwan. Selain itu murid juga disuruh berpantun atau membaca puisi berkenaan haiwan. Untuk mengaitkannya dengan mata pelajaran Matematik, guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan penyelesaian masalah (problem solving) yang ada kaitan dengan kehidupan seharian murid-murid. Contohnya, “Di dalam bakul itu ada sepuluh ekor ikan, dua ekor telah dilarikan kucing. Berapa ekor ikankah yang masih tinggal?’
Rajah 2 : Contoh Penghubungkaitan Mata pelajaran dalam Pelajaran Pendidikan Seni Visual.
Dengan adanya penghubungkait tersebut murid-murid akan belajar beberapa kemahiran dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada dapat memantapkan perkembangan sosial, emosi dan intelek murid-murid, pengajaran berintegrasi seperti yang tersebut di atas dapat juga meningkatkan tahap perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif mereka.
Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran penghubungkaitan (penggabungjalinan) ini lebih berkesan, guru-guru memainkan peranan yang paling penting selain kesedian murid-murid sendiri.
B. i Peranan Guru dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran ini antaranya adalah:-
i) Merancang persediaan mengajar yang dapat menarik minat murid. Antara perkara-perkara yang perlu di ambil perhatian dalam penyediaan rancangan pengajaran ini ialah berkenaan dengan topik, objektif pengajaran, isi pelajaran cara penyampaian isi serta penilaian yang diguna untuk menguji murid. Dalam penyediaan isi pelajaran guru perlulah menyediakan aktiviti-aktiviti yang dapat merangsang pemikiran murid-murid dan aktiviti tersebut perlu penglibatan semua tanpa mengambil kira tahap kebolehan mereka.
ii) Merancang dan memilih sumber bahan pengajaran dan pembelajaran serta bahan bantu mengajar. Sumber bahan-bahan yang dipilih perlulah mesra pelajar iaitu mudah digunakan oleh mereka. Bahan tersebut sudah semestinya menarik. Antara bahan yang boleh digunakan ialah bahan elektronik seperti komputer, televisyen, radio, internet dan sebagainya. Bahan bukan elektronik yang juga boleh digunakan seperti carta bergambar dan sebagainya. Guru perlu menyediakan bahan yang bersesuaian dengan tajuk yang hendak di ajar.
iii) Guru sebagai pemotivasi dan fasilitator murid-murid. Guru haruslah memberi motivasi dan keyakinan kepada murid-murid untuk melahirkan idea dalam pembelajaran mereka supaya dapat membentuk sikap positif dalam perkembangan diri serta mempunyai nilai-nilai murni dalam hidup. Selain itu juga adalah fasilitator atau pemudahcara semasa pembelajaran berjalan. Di mana guru membimbing serta memberi tunjuk ajar jika diperlukan oleh murid-muridnya. Dengan itu guru perlulah meningkatkan diri mereka dengan ilmu dan mempelbagaikan teknik-teknik penyampaian serta membuat kajian tentang pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa.
iv) Pengurusan Kelas . Peranan guru di sini ialah membahagikan pelajar mengikut tahap pencapaian akademik mereka. Dengan pembahagian ini ianya akan memudahkan guru menyediakan aktiviti yang bersesuaian dengan tahap akademik murid-muridnya. Selain itu guru juga perlu memastikan suasana pembelajaran yang teratur. Perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah:-
- kelas atau bilik yang selesa
- peredaran udara dan cahaya yang sesuai
- kelengkapan perabot, bahan dan peralatan yang mencukupi
B. ii Peranan Murid
Selain guru, murid-murid juga mempunyai peranan mereka sendiri untuk memastikan pelaksanaan pengajaran penghubungkaitan ini berjaya. Mereka digalakkan melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah samada secara formal atau tidak formal. Dengan melibatkan diri secara aktif secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan kemahiran belajar mereka dan mereka juga dapat membuat penilaian kendiri tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Murid-murid juga digalakkan untuk meneroka sendiri sesuatu kemahiran yang baru dengan sentiasa merujuk kepada guru sekiranya menghadapi masalah pembelajaran.
C. Pendekatan Bertema
Pendekatan bertema bermaksud pengajaran yang disusun atau dirancang mengikut sesuatu konsep atau tema. Ianya merangkumi koleksi bahan, aktiviti, isi pelajaran serta teknik penyampaian. Pendekatan bertema memberi peluang kepada guru untuk menghubungkait mata pelajaran yang diajar dengan mata pelajaran lain. Penggabungjalinan beberapa mata pelajaran dalam sesuatu pengajaran ini memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka, mengalami dan mencari peluang mengekspresikan sesuatu tema yang telah dirancangkan. Dalam pemilihan dan penentuan tema banyak perkara yang guru perlu ketahui agar pengajaran dan pembelajaran yang dirancang berkesan. Antara perkara tersebut ialah:-
tema yang dipilih hendaklah berasaskan kemahiran, pengalaman serta pengetahuan sedia ada murid
tema yang dipilih berfokus kepada sesuatu isu. Contohnya isu-isu semasa.
sumber-sumber pengajaran dan bahan bantu mengajar mudah didapati dalam tema yang dipilih
guru perlu mempunyai banyak pengetahuan dalam tema yang dipilih.
guru perlu memastikan tema pengajaran tersebut mempunyai pemeringkatan aktiviti dari yang mudah kepada yang lebih mencabar.
Pendekatan bertema juga dapat memberi keyakinan kepada murid-murid untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan adanya pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Ini disebabkan tema yang dipilih mempunyai beberapa kemahiran seperti kemahiran bertutur, membaca, menulis, asas matematik, berfikir, menyanyi dan mengekspresi bakat (melukis).
C. i Terdapat banyak tema yang boleh digunakan oleh guru. Tema-tema tersebut boleh dikategorikan dalam tiga jenis tema iaitu:-
A Tema persekitaran
B Tema Masyarakat
C Tema Komunikasi
Berikut merupakan satu contoh pengajaran yang menggunakan pendekatan bertema. Tema yang digunakan ialah tema persekitaran.
Mata pelajaran : Bahasa Malaysia
Kelas : Tahun 4
Tema : Pengangkutan
Persekitaran : Persekitaran Teknologi
Di dalam pengajaran ini isi-isi pelajarannya dapat dikaitkan dengan mata pelajaran lain seperti Sains, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Pergerakan dan Kesihatan dan Kajian Tempatan dan Matematik. Di dalam pengajaran dan pembelajaran ini murid-murid akan di dedahkan dengan beberapa perkara penting seperti :-
- sejarah teknologi pengangkutan;
- kepentingan pengangkutan kepada manusia
- kesan-kesan teknologi pengangkutan terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan
- bentuk-bentuk pengangkutan
- pergerakan kenderaan
- perkaitan antara laju dan jarak menggunakan kenderaan
Tema persekitaran teknologi dipilih kerana ia telah membawa kemajuan dan pembangunan kepada manusia . Teknologi juga melahirkan dunia tanpa sempadan dan telah memperkenalkan konsep globalisasi. Teknologi yang hebat dan hebat mampu menarik minat dan memotivasikan murid-murid untuk melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti-aktivi pengajaran yang berjalan. Murid juga akan dapat meneroka pergerakan kreatif, imej, bunyi serta meluahkan perasaan mereka secara bebas.
C.ii Pengintegrasian Matapelajaran
Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) penegasan yang berkesan amatlah dititik beratkan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjaya dan mencapai objektifnya terutama sekali kepada murid-murid. Bagi memastikan hasrat kerajaan dan matlamat Falsafah Pendidikan Negara tercapai beberapa kaedah pengajaran digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran antaranya ialah konsep integrasi. Ianya meliputi semua bidang kemahiran ke arah penguasan ilmu pengetahuan, kemahiran bahasa dan pemupukan nilai-nilai murni untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Kerana keseimbangan ini adalah asas kepada keharmonian negara. Antara aspek pengintegrasian yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah
(a) Penggabungjalinan
Ia adalah proses menyepadukan (penggunaan) pelbagai bidang kemahiran bagi menjadikan suatu pelajaran itu integratif dan menyeluruh. Melalui strategi penggabungjalinan ini berbagai-bagai kemahiran dalam sesuatu matapelajaran disampaikan secara menyeluruh dan bersepadu dengan mengaitkannya dengan satu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran. Penggunaan strategi ini dapat memberi peluang murid-murid menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan isi pelajaran yang diajar. Ia juga boleh mengelakkan kebosanan dan menimbulkan suasana pembelajaran yang lebih menarik. Untuk menjadikan proses penggabungjalinan ini lebih berkesan, murid-murid hendaklah terlebih dahulu menguasai kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, mengira, membaca dan menulis secara mekanis. Tujuan menguasai kemahiran asas ini ialah untuk menarik perhatian guru untuk memberi kefahaman dan penerangan yang lebih bermakna kepada murid.
(b) Penyerapan
Dalam konteks KBSR, penyerapan bermaksud sebagai proses menyatupadukan isi pengetahuan daripada mata pelajaran untuk dijadikan isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Contohnya bahan atau kandungan isipelajaran daripada mata pelajaran lain seperti Matematik, Seni Pergerakan, Sains, Pendidikan Muzik, Seni Visual atau Kajian Tempatan yang digunakan sebagai isi kandungan dalam pelajaran Bahasa Malaysia. Penyerapan pengajaran dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti dan gerak kerja yang dijalankan oleh murid di sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berjalan.
Bagi tema “Pengangkutan” yang dipilih terdapat beberapa aktiviti integrasi mata pelajaran lain yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran antaranya ialah dengan menayangkan jenis-jenis pengangkutan yang terdapat di negara kita serta beberapa penerangan tentang pengangkutan tersebut. Selepas itu murid diminta melakukan beberapa aktiviti.
Pergerakan : (a) cara memandu kereta atau kapal terbang
(b) menunggang motosikal
(c) mengayuh perahu
Seni Visual : (a) membuat model kenderaan
(b) mewarna gambar
Pendidikan Muzik : (a) membunyikan bunyi kenderaan
(b) menyanyikan lagu yang ada kaitan dengan kenderaan.
Selain daripada itu murid-murid juga diminta untuk membandingkan saiz kenderaan (Matematik), menyatakan kebaikan dan keburukan yang terdapat dalam perkembangan pengangkutan (Sains), dan menerang secara ringkas tentang sejarah pengangkutan (Kajian Tempatan)
Di dalam aktiviti pengintegrasian ini kemahiran utama yang diajar kepada murid-murid ialah kemahiran:
Lisan - menyoal untuk mendapatkan maklumat
- bercerita secara ringkas tentang kenderaan/pengangkutan
Bacaan - membaca petikan yang disediakan
- mencari maklumat yang terdapat dalam multimedia
Tulisan - menulis maklumat
- menjawab soalan
C. iii : Bagaimana aktiviti ini boleh membantu murid dalam pembelajaran?
Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan murid-muridnya dapat mengikuti dan seterusnya dapat menerima isi pengajaran yang disampaikan dengan semaksima mungkin. Maka dengan itu aktiviti yang dirancangkan dalam pembelajaran murid menjurus kepada sesuatu yang boleh mencabar tahap kebolehan mereka. Aktiviti seperti pergerakan dilakukan supaya kanak-kanak akan mendapat lebih kefahaman tentang asas-asas pergerakan seperti penggunaan ruang, masa, imbangan berat badan dan daya. Semasa melakukan aktiviti tersebut kanak-kanak akan dapat memperkembangkan konsep pembentukan kendiri dari segi emosi sosial, fizikal, rohani dan nilai-nilai murni. Dengan adanya aktiviti ini perkembangan psikomotor murid menjadi lebih meningkat dan sekaligus membantu mereka menggunakan kesemua deria yang ada pada mereka untuk memudahkan penerimaan ilmu pengetahuan.
Untuk aktiviti yang berkaitan dengan Seni Visual, murid-murid membuat model kenderaan dan mewarna hasil kerja mereka. Aktiviti ini dapat mengembangkan daya imaginasi murid-murid dan penajaman daya intuisi mereka. Murid-murid juga dapat berinteraksi dengan bebas sesama rakan sebaya. Mereka mencari pengetahuan dan memanipulasi benda-benda menjadi sesuatu yang boleh dijadikan alat permainan mereka. Murid-murid juga akan dapat mewujudkan suasana yang dinamik dan interaktif dalam proses pembelajaran meraka. Dalam aktiviti nyanyian guru dapat membimbing murid kemahiran lisan mereka. Ia juga dapat membantu murid meluahkan perasaan berlandaskan pengetahuan dan pengalaman verbal dan bukan verbal samada berbentuk pergerakan, imej visual, prop, bunyi dan muzik berasaskan tema yang diberi. Ini menjadikan murid-murid lebih berkeyakinan dan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Dapatlah disimpulkan bahawa aktiviti-aktiviti integrasi dalam pengajaran adalah sebagai pengukuhan kepada kemahiran yang diperolehi daripada mata pelajaran lain dapat membantu penguasaan kemahiran fokus yang dikehendaki dalam objektif pengajaran dan pembelajaran dan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan individu secara seimbang, harmonis dan bersepadu.
C. IV Penggunaan Bahan Dalam Proses Pengajaran
Pemilihan bahan pengajaran juga adalah sebahagian dari tugas guru dalam merancang pengajarannya. Penggunaan bahan bantu mengajar mengajar adalah sangat penting kerana ianya dapat membantu murid lebih memahami dan apa yang mereka fahami itu akan kekal dalam ingatan mereka. Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran antaranya termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai murni. Bahan juga boleh dikategorikan sebagai media pendidikan. Kesemua alat dan bahan, jika digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan akan dapat merangsang dan mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif dan berkesan. Ia juga penting sebagai media komunikasi, sumber pengalaman dan unsure yang boleh mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran. Bahan-bahan yang digunakan dalam pengajaran ini ialah:-
Bil Bahan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
1 Bahan elektronik
- komputer, tayangan klip
video, Internet
Penerangan semasa set induksi.
Mencari maklumat
2 Bahan bukan elektronik
- carta gambar
- lembaran kerja
- teka silangkata
- surat khabar lama
Mencari maklumat tentang pengangkutan
Aktiviti pengayaan
Aktiviti melukis dan mewarna gambar
3 Bahan maujud
- kereta, motosikal dan basikal
Membina ayat dan kemahiran membaca dan menulis.
Rajah 3 : Bahan pengajaran dan pembelajaran
Dalam pengajaran bertema yang dicadangkan ini bahan pengajaran yang digunakan ialah klip video yang ditayangkan menggunakan komputer dan LCD. Maklumat-maklumat pengajaran disampaikan melalui tayangan berkenaan keadaan sebenar serta peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan pengangkutan di negara kita. Tujuannya ialah supaya murid-murid mendapat maklumat yang lebih jelas jika diterangkan dengan contoh-contoh yang memerlukan bahan audio dan visual. Contohnya;
1) menerangkan jenis-jenis pengangkutan (air, udara dan darat)
2) menunjuk dan membezakan kepantasan pergerakkan kenderaan
3) menerangkan bunyi kenderaan
4) menerangkan bentuk-bentuk kenderaan
Penerangan guru dengan diiringi bahan-bahan tersebut dapat memperkembangkan corak pemikiran murid serta membantu mereka memahami sesuatu dengan jelas. Internet juga digunakan sebagai pendedahan dunia IT kepada murid. Guru membimbing murid meneroka alam maya untuk mencari maklumat. Peluang ini akan dapat menimbulkan rasa ingin tahu murid
Penggunaan bahan-bahan pengajaran seperti yang terdapat dalam Rajah 3 di atas dapat membantu murid meneroka dan mengaitkan pengetahuan dengan pengalaman dan pembelajaran dari mata pelajaran lain seperti Sains dan kajian Tempatan. Di samping itu ia juga dapat memupuk nilai-nilai murni dan pemikiran positif murid-murid.
Rujukan:
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual 2000. Kuala Lumpur.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1992). Pengurusan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Omar Zakaria, Shaifol Bahary dan Hassan Ahmad. (2006). HBEF2303 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.
Salmah Ayob. (1993). Aktiviti-aktiviti Pergerakan Kreatif Panduan Pengajar. Petaling Jaya: Flo Enterprise Sdn. Bhd.
Salmah Ayob. (1996). Strategi, Teknik dan Perancangan Pendidikan Pergerakan. Petaling Jaya: Flo Enterprise Sdn. Bhd.
Zulkifli Yaakop, Mohd Jamal Ismail. (2007). HBEF1403 Seni Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.
Rabu, 13 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Terima kasih tidak terhingga.
BalasPadamTerima kasih untuk catatan ini.
BalasPadamSya mohon kongsi utk tugasan sya.Mohon dihalalkan.
terima kasih...bhn bnyk membantu
BalasPadamterima kasih.....
BalasPadam