A. Terangkan perkara – perkara berikut dan beri contoh yang sesuai.
1.0 PENGENALAN
Persatuan Pentadbir Komunikasi telah mendefinisikan komunikasi sebagai :
“ A humanistic and scientific field of study, research, and application. Its focus is upon how,why,and with what effects people communicate through spoken language and associated nonverbal messages. Just as political scientists are concerned with political behaviour and economists with economic behaviour, the student of speech communication is concerned with communicative behaviour. ”
Mengikut definisi di atas ini, komunikasi ini melibatkan berbagai jenis perlakuan dan wujud dalam berbagai situasi seperti awam dan persendirian, bisnes dan sosial, rumah dan sekolah, tidak formal dan formal.
Dalam kehidupan manusia sejagat, perhubungan merupakan suatu agenda yang utama untuk membentuk sesuatu kejayaan dan matlamat. Perhubungan manusia dengan alam bermula semenjak Nabi Adam a.s diturunkan oleh Allah s.w.t ke muka bumi ini. Dalam Al-Quran ada menjelaskan mengenai bagaimana dua insan pertama ini dapat bertemu walaupun mereka diletakkan ditempat yang berlainan. Situasi ini dapat diselesaikan dengan adanya teknik perhubungan yang kini dikenali sebagai komunikasi.
i. Maksud Komunikasi, Teori Dan Teori Komunikasi.
Komunikasi adalah suatu proses penyampaian pesan dari satu pihak kepada pihak lain agar terjadi saling mempengaruhi diantara satu dengan yang lain. Pada umumnya, komunikasi dilakukan dengan menggunakan kata-kata (verbal) yang dapat difahami oleh kedua belah pihak. Seandainya tidak ada bahasa verbal yang dapat difahami mereka , komunikasi masih dapat dilakukan dengan menggunakan gerak-geri badan, menunjukkan sikap tertentu, misalnya tersenyum, menggelengkan kepala, mengangkat bahu. Cara seperti ini disebut komunikasi dengan bahasa isyarat. Beberapa sarjana dalam bidang komunikasi telah memberi pendapat mereka tentang komunikasi ini. Diantaranya ialah :
Bittner ( 1988 ) pula mengatakan bahawa komunikasi adalah merupakan “ satu perlakuan berkongsi simbol ”. Simbol – simbol ini adalah terdiri daripada verbal dan nonverbal dan ia merupakan komponen di dalam proses komunikasi.
French ( 1993 ) komunikasi adalah satu usaha mewujudkan salaing memahami dalam minda orang lain.
Schramm dan Robert pula mengatakan komunikasi adalah satu proses untuk mengongsikan sesuatu orientasi terhadap satu set tanda – tanda maklumat ( Mansor Ahmad Saman etal, 1984 )
Sebagai contoh, proses penyampaian mesej oleh seorang individu dan penerima mesej oleh individu lain ataupun sekumpulan individu dengan membawa satu kesan dan peluang memperolehi maklumat balas serta-merta. Misalnya, rakan sekerja, pelajar dan sebagainya, penggunaan kata sapaan ‘Assalamualaikum’, ‘apa khabar’, terima kasih’, ’maafkan saya’ dan sebagainya yang menunjukkan kesopanan dan menghormati.
Teori pula adalah kenyataan atau penerangan yang kita bentuk untuk menerangkan tentang sesuatu kejadian dan ianya berupa sementara. Beberapa orang sarjana dalam bidang ini mentakrifkan teori ini mengikut pendapat mereka masing – masing. Diantaranya ialah :
Little John (1995), beliau menegaskan bahawa teori adalah ringkasan dan rekaan, bukannya realiti. Beliau juga, menyatakan bahawa “teori ialah satu percubaan untuk menerangkan dan menjelaskan satu pengalaman, atau satu idea tentang bagaimana sesuatu kejadian itu berlaku”.
Griffin (1997) pula mengatakan bahawa “teori adalah peta tentang kebenaran, jawapan sementara yang dibentuk bagi persoalan yang timbul tentang sesuatu fenomena”
Cragan dan Shields (1998) mendefinisikan teori sebagai “satu lambang yang mengandungi konsep-konsep dan perkaitan di antaranya yang membolehkan seseorang memahami, menjelas, menerang, menilai, membuat ramalan, dan membuat kawalan terhadap fenomena”
Kesimpulannya teori adalah kenyataan atau penerangan yang kita bentuk untuk menerangkan tentang sesuatu kejadian dan ianya berupa sementara. Kita boleh membuat ujian dan kajian secara sistematik untuk menentukan sama ada penerangan atau kenyataan boleh dibuktikan sahih atau sebaliknya. Kita juga boleh menerima, menolak atau mengubahsuai teori berdasarkan kajian yang kita jalankan.
Teori Komunikasi ialah penyataan untuk menerangkan, menjelas, menilai dan membuat ramalan terhadap komunikasi. Gabungan konsep antara teori iaitu penyataan dengan komunikasi telah membentuk satu tanggapan atau proses yang berfaedah untuk penyelidikan. Menurut pakar dalam bidang komunikasi ini, mereka berpandapat bahawa :
Cragan dan Shields, ( 1998 ) teori komunikasi ialah satu kenyataan yang mengandungi konsep yang membantu memberi secara keseluruhan atau sebahagian, keterangan, penjelasan dan mempunyai perkaitan antaranya yang membolehkan seseorang memahami, menjelas dan menilai fenomena serta ramalan.
Borman, ( 1989 ) Satu perkataan atau istilah yang merupakan pendokong kepada semua perbincangan yang berkaitan dengan proses komunikasi
Menurut Littlejohn, ( 1996 ) Satu teori atau sekumpulan ‘collective wisdom’ yang didapati daripada keseluruhan teori berkaitan proses komunikasi
Kesimpulannya, teori komunikasi amatlah penting untuk diaplikasi oleh kita sebagai seorang pelajar. Dengan adanya teori komunikasi ini kita dapat memahami, menyusun dan membuat rumusan tentang ramalan sudah tentu perlakuan yang negatif dapat diatasi pada peringkat intrapersonal lagi.
ii. Perkembangan Bidang Komunikasi.
Di zaman nenek moyang kita , komunikasi tidak berlaku dengan begitu baik sekali jika dibandingkan dengan apa yang kita kecapi pada masa kini di mana terdapat sistem bahasa yang baik. Asas – asas kepada bahasa muncul lebih kurang 100,000 tahun. Dalam lingkungan 9000 tahun pula munculah piktograf, luisan yang terdapat dalam gua atau kulit haiwan. Dengan ini menambahkan komunikasi dalam bentuk pertuturan. Dalam lingkungan 6000 yang lalu piktograf memainkan peranan yang lebih sebagai simboldan seterusnya simbol – simbol itu dijadikan huruf. Selepas itu barulah muncul papyrus dan kulit kambing sebagai kertas pada zaman Rom. Dalam tahun 1300 kertas mula digunakan sepenuhnya di Eropah. Seterusnya 500 tahun yang lalu proses percetakan moden telahpun bermula. Percetakan dimulakan dengan menggunakan blok yang berbentuk kayu. Selepas itu barulah Johann Gutenberg (1400 – 1468 ) di Jerman telah memperkenalkan penggunaan mesin taip bergerak yang diperbuat daripada logam.
Di Malaysia hari akhbar pertama telah dikeluarkan pada tahun 180 di Pulau Pinang yang dinamakan Prince of Wale Gazette. Pada abad ke 18 dan 19 berlakunya perkembangan teknologi fotografi dengan pesatnya. Awal abad ke-19 pengeluar – pengeluar filem Amerika dan Eropah telah mula menerbitkan filem – filem yang boleh ditayangkan beberapa minit.
Mulai awal abad ke-20 berlakunya perkembangan pesat bagi komunikasi yang berbentuk teknologi seperti radio, televisyen dan telefon. Selepas itu muncullah teknologi yang lebih canggih seperti satelit, computer dan teleconferencing.
( Ahmad Kamil Mohamed, 1995 )
Memang kita tidak dapat nafikan lagi, perkembangan dalam bidang komunikasi berlaku sejajar dengan bidang-bidang lain. Daripada perkara yang kecil sehinggalah perkara paling besar. Walaupun kajian tentang komunikasi agak ketingalan berbanding dengan bidang yang lain, bidang ini sama kewujudan dan kepentingan dengan bidang-bidang yang lain. Tanpa komunikasi, bidang ilmu yang lain tidak akan berkembang dengan baik. Kita akan lihat bagaimana perkembangan bidang komunikasi ini di barat dan juga di Malaysia.
Di Barat perkembangan bidang ini berlaku pada abad ke 20. Bidang ini dikenali sebagai bidang baru berbanding bidang pengajian yang lain. Perkembangan kemajuan teknologi telah memaksa bidang komunikasi diberi perhatian untuk penyelidikan. Teknologi seperti radio, telefon, televisyen satelit, komputer, perindustrian dan politik dunia telah mencetuskan capahan untuk penyelidikan bidang komunikasi dengan lebih mendalam bagi membentuk konsep dan memahaminya. Penyelidikan pada masa itu lebih kepada apakah kesan teknologi kepada individu, masyarakat, rakyat jelata dan negara. Kajian demi kajian dijalankan sehingga setiap ucapan pemimpin dianalisis untuk mengetahuai kesanya kepada sesebuah masyarakat. Perkembangan perniagaan yang pesat menjadikan komunikasi digunakan oleh syarikat-syarikat untuk mengiklankan barangan mereka dengan bantuan teknologi komunikasi. Teori barat ini banyak diperbincangkan mengikut tradisi barat. Menurut Griffin,(1997), tahap perkembangan komunikasi di barat melalui beberapa peringkat iaitu :
Era Awal (1900 – 1950) kebangkitan Retorik,
Era Komunikasi Dan Sains Sosial ( 1930 -1960 ) kesan media,
Era Revolusi Empirik (1950-1970) Teori Dalam Tabung Uji,
Era Pergolakan60an(1960-1970)Asas Pelancaran Komunikasi Perseorangan,
Era Retorik Baru (1965-1980),
Era Pencarian Model Sejagat (1970 – 1980,
Era Pergolakan Dalam Bidang (1980 – kini ).
Negara kita Malaysia, bidang komunikasi mula berkembang secara sistematik pada tahun 1970an Pengajiannya bermula di. Universiti Sains Malaysia, diikuti oleh Institut Teknologi MARA (sekarang Universiti Teknologi MARA), kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya Universiti Pertanian Malaysia ( kini Universiti Putra Malaysia). Seperti juga bidang komunikasi di barat, mereka yang memasuki bidang komunikasi di Malaysia adalah dari bidang-bidang lain seperti sains politik, pendidikan, pemgembangan, sosiologi dan psikologi sosial. Walau bagaimanapun ada juga yang mendapat pendidikan peringkat sarjana dan Ph.D dalam bidang komunikasi daripada Barat dan Philipines. Tidak hairanlah para sarjana di Malaysia adalah mengikut acuan barat tetapi mereka telah membuat penyesuaian dengan acuan Malaysia bagi membolehkan bidang ini menjadi sepadan dengan nilai dan budaya masyarakat timur. Bidang komunikasi ini akan berkembang dengan baik jika negara meletakkan ianya sebagai dasar pendidikan diperingkat rendah lagi.Di antara nama – nama besar yang mengasaskan bidang komunikasi di negara kita ialah :
Prof Dr.Mohd Yusoff Hussain ( dulu UPM, sekarang UIA )
Prof Dr.Syed Arabi ( UKM )
Prof Vincent Low dan Prof Ramli Mohamad ( USM )
Datin Sharifah Mariam dan Dr.Bukhori ( ITM )
Prof Madya Dr.Shamsuddin A.Rahim dan Prof Madya Dr.Rahmah Hashim ( UKM ).
Prof Madya Dr.Md.Salleh Hassan,Prof Dr. Sulaiman Yassin dan Dr. Soadah Wok ( dulu UPM, sekarang UIA )
Prof Madya Dr.Musa Abu Hassan, Dr. Ezhar Tamam dan Dr.Narimah Ismail ( UPM )
Ternyata perkembangan dalam bidang komunikasi ini banyak membawa perubahan kepada dunia kita pada masa kini.Tanpa komunikasi kita tidak dapat mengetahui tentang perkembangan kemajuan dunia pada masa kini.
iii. Proses Pembentukan Teori Komunikasi.
Teori komunikasi banyak membantu kita dalam menilai, menyusun, meramal dan bertindak dengan lebih cekap. Petikan daripada Narimah, 2004, setiap hari semua kita sentiasa tertakluk kepada fungsi dan peranan komunikasi sama ada secara interpersonal, kumpulan, keorganisasian atau secara massa. Dalam menyelesaikan masalah, sebenarnya manusia ingin mengetahui, mencari dan boleh menerangkan sesuatu kebenaran. Untuk mencari kebenaran sesuatu teori, persoalan, masalah hendaklah menggunakan kaedah saintifik, taakulan induktif dan deduktif yang merupakan asas untuk kebenaran tersebut. Proses pembuktian kebenaran ini dipanggil penyelidikan. Pada asasnya penyelidikan adalah cara berfikir bagi mengkaji fenomena secara terperinci, cara kaedah yang sesuai, interprestasi hasil dapatan untuk dikaitkan dengan dengan dapatan hasilan atau teori. Penyelidikan telah diertikan oleh beberapa pakar bagi tujuan pembentukan teori antaranya adalah seperti berikut :
Penyelidikan adalah satu usaha menganalisis data melalui kaedah saintifik dengan cara formal dan sistematik. Kerlinger (1973)
Syed Arabi (1993) mentakrifkan penyelidikan sebagai satu tatacara teratur yang hasilnya membolehkan penambahan ilmu pengetahuan.
Salkind (1994) satu proses penemuan baru.
Dapatlah kita simpulkan di sini, untuk menyelidik dalam komunikasi kita hendaklah mengetahuai dan menjalankan kaedah seperti; eksperimen, tinjuan, analisis tekstual dan etnografi.
iv. Kepentingan Teori Komunikasi Kepada Saya.
Sebagai seorang guru atau pelajar, teori komunikasi amatlah penting dalam setiap saat dan ketika dalam menjalani kehidupan sebagai penyampai dan penuntut ilmu. Teori Komunikasi akan membantu saya khususnya dalam memberi penerangan (idea), menghurai, menjelaskan situasi dan membuat ramalan tentang fenomena komunikasi tersebut. Ianya juga bertindak sebagai kawalan dan panduan untuk menjalankan penyelidikan tentang komunikasi. Di sini saya menghuraikan kepentingan teori komunikasi kepada saya sebagai seorang pendidik dan pelajar, antaranya ialah :
Membantu saya menjadi lebih cekap dan berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah – ubah dengan orang lain terutamanya apabila saya berhadapan dengan pelajar saya. Saya mesti membuat persediaan yang lengkap dan sesuai untuk melakukan komunikasi. Ini bermakna saya pelu membuat persediaan yang rapi untuk menyampaikan isi pelajaran kepada murid – murid baik dari segi isi pelajaran, kesesuaian kandungannya dan langkah – langkah pengajaran yang sesuai dengan peruntukan masa dan juga alat bantu mengajar.
Sebagai panduan dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan, sebagai seorang guru, kita mestilah terlebih dahulu mengenali murid kita. Apabila kita mengenali mereka kita akan dapat berkomunikasi dengan lebih baik. Murid – murid pula akan berasa bangga apabila guru mengenalinya atau menyebut namanya.
Teori menyusun dan membuat rumusan tentang sesuatu pengalaman, membantu saya sebagai seorang pendidikan yang seratus peratus terlibat dalam bidang komunikasi mengetahuinya melalui pengumpulan semula segala pengetahuan tentang sesuatu perlakuan komunikasi, terutamanya apabila berhadapan dengan anak didik.
Teori memanjangkan ilmu – teori membantu saya melihat perkara yang belum kita lihat sebelum ini (Littlejohn, 1999).Walaupun perkara itu di depan mata kita melihat perkara yang sama di kacamata baru.
Teori merangsang untuk kajian masa depan ( heuristik )
Teori membantu dalam membuat ramalan.
Melalui Komunikasi Antara Perseorangan saya sebagai seseorang pelajar dan juga guru dapat menyesuaikan diri saya dengan pelbagai karenah rakan-rakan dan juga dapat memahami tenaga pengajar dan juga pelajar saya sendiri.
Kesimpulannya , keupayaan untuk berinteraksi secara positif bukan sahaja penting bagi kejayaan seseorang individu seperti kerjaya saya sebagai seorang guru, malahan ianya penting bagi kejayaan organisa sekolah saya. Kebolehan bertkomunikasi dengan baik membolehkan seseorang individu dimanati dan digemari oleh audien atau pelanggannya.
B. Komunikasi antara perseorangan amat penting dalam kehidupan kita. Terangkan satu pengalaman yang pernah anda alami yang berkait dengan komunikasi antara perseorangan. Pilih satu teori yang sesuai untuk menerangkan pengalaman anda. Terangkan tentang teori tersebut.
TEORI DISONAN KOGNITIF
Memang kita tidak dapat nafikan lagi, bahawa komunikasi ataupun perhubungan sesama insan merupakan pokok utama yang perlu kita tunaikan dalam kehidupan seharian kita. Semakin banyak kita berinteraksi maka semakin banyaklah maklumat yang kita perolehi. Sebagai seorang insan kita tidak terlepas daripada mengalami sesuatu pengalaman sewaktu kita berkomunikasi dengan seseorang.
Menurut Festinger ( 1957 ) apabila perlakuan kita tidak menyamai perkara yang kita percaya, maka akan berlaku ketegangan mental atau disonan kognitif. Keadaan ini tidak stabil dan kita berusaha untuk mengubah sama ada perlakuan atau kepercayaan kita. Ketegangan yang kita rasai berbeza mengikut kepentingan perkara yang kita hadapi. Hal ini bermakna bahawa semakin penting isu yang kita hadapi, semakin besar perbezaan antara perlakuan dan kepercayaan kita, maka semakin besarlah perasaan disonan yang kita hadapi.
Untuk mengurangkan tekanan tersebut Festinger telah membuat tiga bentuk hipotesis atau kaedah mental untk memastikan tindakan dan sikap itu menjadi selari.
Pengalaman 1
Saya masih teringat cerita semasa saya dibangku sekolah menegah dahulu, Tahun ini saya akan menghadapi Ujian Sijil Rendah Pelajaran Malaysia. Seandainya saya tidak lulus mata pelajaran yang diwajibkan lulus, sudah pasti saya tidak dapat menjejakkan kaki saya ke Tingkatan Empat. Mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik merupakan salah satu daripada mata pelajaran yang diwajib lulus. Kebetulan pada tahun itu cikgu yang mengajar kedua mata pelajaran tersebut merupakan cikgu yang paling saya tidak suka. Disebabkan keadaan yang demikian saya selalu ponteng kelas apabila kedua orang guru itu mengajar di kelas kami. Satu perkara yang saya tidak suka, saya menghadapi tekanan mental atau disonan kognitif.
Pengalaman 2
Peristiwa ini berlaku semasa membeli Komputer riba atau Lap Top, saya juga mengalami tekanan iaitu sama ada membeli Lap Top berjenama Acer atau Toshiba ? Harga Lap Top Toshiba mahal RM100.00 sahaja daripada jenama Acer. Adakah saya akan membeli Komputer riba berjenama Toshiba yang mempunyai prosesor Intel Centrino Duo Mobile Teknologi dengan kelajuan 2.0 Ghz , skrin lebar 12 inci , dan dilengkapi dengan Wi – fi atau pun komputer riba berjenama Acer yang mempunyai prosesor Intel Centrino Duo dengan kelajuan 1.8 Ghz, skrin lebar dan dilengapi juga dengan Wi – fi.
Berdasarkan pengalaman yang saya alami di atas, Festinger telah memberi tiga hipotesis bagi mengatasi masalah disonan kognitif., iaitu :
Hipotesis 1: Pendedahan Terpilih Menghalang Disonan.
Menurut Festinger kita selalu mengelak maklumat yang boleh meningkatkan disonan. Dalam situasi di atas, saya boleh berbual, bertanya, atau mendapatkan maklumat tentang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik itu kami itu tadi daripada mereka yang suka dan minat guru tersebut. Saya rasa elok saya jauhkan diri dari berbincang dengan kawan saya yang tidak suka akan kedua – dua guru itu tadi. Berkemungkinan dengan cara sebegini dapat lagi menghilang rasa kekeliruan terhadap mereka.
Hipotesis 2: Disonan Selepas Membuat Keputusan Memerlukan Sokongan.
Biasanya, selepas membuat sesuatu keputusan tetapi keputusan tersebut kurang baik, maka saya berasa tertekan. Bagi mengatasi keadaan disonan yang timbul, saya telah meminta bantuan abang saya dan rakan-rakan yang boleh menjelaskan kepada saya tentang Lap Top / komputer riba yang sesuai untuk saya, sebelum saya membelinya. Saya juga menghadapi masalah semasa membuat bayaran sekiranya membeli komputer riba berjenama Toshiba, maka saya terpaksa membeli model komputer riba berjenama Acer. Menurut Festinger terdapat tiga situasi yang membuat disonan selepas membuat keputusan menjadi teruk iaitu :
apabila keputusan yang dibuat penting,
jarak masa untuk memilih antara dua keputusan yang sama menarik
susah untuk berpatah balik setelah membuat keputusan.
Hipotesis 3 : Justifikasi Minima Untuk Tindakan Akan Membawa Perubahan Sikap.
Menurut hipotesis ini, cara untuk mendapat perubahan yang kekal adalah dengan membuat sesuatu perkara baru diikuti dengan perubahan sikap. Untuk mendapat perubahan perlakuan kita perlu memberi insentif yang minima. Bagi saya, apabila keputusan bagi setiap penggal diumumkan semasa perhimpunan di sekolah keputusan tersebut pula memuaskan hati saya , maka segala usaha yang saya buat sebelum ini memang berbaloi. Jadi, saya akan sentiasa berusaha dengan gigih dan tekun mengulangkaji mata pelajaran yang diajar sebelum saya menduduki peperiksaan.
Sepertimana yang telah kita bincangkan tadi dapat kita simpulkan bahawa Teori Disonan Kognitif ini merupakan tekanan yang kita alami sebab kepercayaan kita tidak selari dengan perlakuan kita. Kita memang lebih mudah mengubah kepercayaan, pendirian mahupun sikap kita bergantung kepada keadaan dan situasi.Teori ini juga mengemukakan hipotesis atau jangkaan langkah-langkah yang diambil oleh seseorang apabila menghadapi disonan kognitif.
Keseluruhan dapatlah kita katakan disini bahawa komunikasi adalah asas dan berkait rapat dengan tugas serta aktiviti harian kita khususnya dan masyarakat amnya. Dengan mengamalkan komunikasi kita dapat memujuk, memberitahu, mengajar dan menghibur. Teori komunikasi banyak membantu kita dalam menilai, menyusun, meramal dan bertindak dengan lebih cekap. Kefahaman mengenainya akan banyak membantu kita dalam menjadikan diri kita insan yang berjaya dalam pelbagai konteks dan situasi baik sebagai pelajar, individu, ahli keluarrga, ahli masyarakat dan negara khasnya.
Jumaat, 22 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Alhamdulillah sangat membantu saya.. terima kasih
BalasPadamsngt mmbntu..!!! thanks
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamterima kasih sudi berkongsi ilmu
BalasPadam