Jumaat, 22 Januari 2010

TITAS -Teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu.


1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Tamadun mendedahkan kita suatu cara hidup yang tentiasa berkembang tatkalala manusia mula menetap di satu kota atau bandar. Di dalam kota atau bandar tersebut akan wujudnya suatu organisasi sosial dan politik yang dikenali sebagai negara. Manakala agama merupakan satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam menjalankan sesuatu kajian tentang ketamadunan. Fenomena agama penting difahami kerana ianya merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Dengan kata lain, tanpa manusia mustahil wujudnya satu-satu agama. Justeru itu perkara asas yang diguna pakai dalam menentukan sama ada bertamadun atau tidak sesuatu masyarakat haruslah dibina di atas perspektif yang berpaksikan sistem nilai iaitu agama Islam.

1.2 Objektif Kajian

Antara objektif kertas kerja ini ialah seperti berikut:
(i) Mendedahkan kepada pembaca tentang beberapa teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu.
(ii) Memberi pendedahan serta huraian terperinci tentang proses-proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu.
(iii) Mengetahui jenis-jenis pusat-pusat tamadun Melayu selepas kedatangan agama Islam.
(iv) Memberi gambaran sebenar tentang kesan dan pengaruh agama Islam terhadap Alam Melayu.





1.3 Kaedah Kajian


Batasan Kajian Pelbagai kaedah dan pendekatan telah digunakan dalam menghasilkan tugasan ini. Antara kaedah yang digunakan dalam usaha menyempurnakan tugasan ini ialah kaedah keperpustakaan dengan membuat penyelidikan di perpustakaan-perpustakaan di Sibu, Sarikei dan Bintangor. Kebanyakan kaedah kajian adalah lebih kepada pengumpulan maklumat dengan mentelaah karya-karya, kamus-kamus yang berkaitan dengan tugasan ini serta memanfaatkan pandangan daripada tutor dan ahli kumpulan agar kajian ini dapat memenuhi kehendak tugasan yang diberikan.



1.4 Batasan Kajian


Penulis tugasan ini membataskan kajian kepada beberapa teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Tugasan ini hanya menerang proses-proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. Ianya juga akan hanya membincangkan jenis pusat tamadun Melayu, kesan serta penaruh selepas kedatangan agama Islam ke Alam Melayu.









1.5 Definisi Konsep

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-3 Terbitan DBP (1994), membawa maksud perkataan:
(i) Islam bermaksud agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
(ii) Pembinaan bermaksud perbuatan (kegiatan,usaha, dsb), membina (mendirikan, membangunkan)
(iii) Tamadun bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran.
(iv) Melayu membawa maksud nama sesuatu bangsa dan bahasa (terutamanya di Semenanjung Malaysia)

2.0 Teori Kedatangan

Tidak dapat dipastikan bilakah Islam mula datang dan sampai ke Alam Melayu. Bukti-bukti sejarah juga masih tidak jelas dan bersimpang-siur. Namun, terdapat beberapa bahan sejarah yang boleh membantu kita untuk menentukan tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu. Pertama dari sudut riwayat yang dicatat oleh para pengembara dan pedagang yang sampai ke Asia Tenggara. Catatan telah dibuat oleh pengembara Arab dan juga Parsi.

Mengikut riwayat Cina, telah ada orang Islam di Sriwijaya pada tahun 674 Masihi/ 55 Hijrah. Kemudian Al-Mas’udi meriwayatkan bahawa pada 887 telah ada petempatan orang Islam di Khanfu (Canton), negeri Cina. Oleh yang demikian terdapat sarjana yang melihat kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui pelbagai teori. Antara teori-teori tersebut ialah;

(a) Islam datang melalui India dan para pembawanya ialah para saudagar yang berniaga terutamanya dari Gujerat . Teori ini banyak didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat seperti Winstedt dan lain-lain.
(b) Islam datang melalui Parsi yang dibawa oleh orang Islam yang berniaga dan yang berdakwah.
(c) Islam datang secara lansung dari Tanah Arab.
(d) Islam datang melalui negeri China seperti yang didukung oleh S.Q. Fatimi, seorang penyelidik dari Pakistan.
(e) Islam datang melalui pelbagai jurusan dan tempat seperti Asia Barat, Asia selatan dan Afrika utara.

Namun ketetapan yang dibuat oleh para sarjana ialah Islam telah datang ke Alam Melayu sejak zaman Khalifah Ar-rasyidin lagi tetapi melalui perantara. Perantara yang dimaksudkan ialah pedagang-pedagang dari China dan India yang datang berdagang ke Alam Melayu.


Teori Kedatangan Islam Dari India

1. Van Ronkel menganggap Islam dibawa dari India Selatan dengan alasan adanya bentuk-bentuk popular Islam seperti adanya ciri-ciri mistik, sastera Roman dan sebagainya di Indo yang berasal dari India Selatan
2. Moquette & R.A Kem memilih Gujerat sebagai tempat asalnya. Islam- kerana kesamaan batu-batu nisan di Pasai (1428) & dan di Gerisek (1419). Dengan batu nisan di Gujerat
3. Disokong oleh D.G.E Hall (1987) mengatakan sebelum akhir abad ke 13M, pedagang-pedagang dari Gujerat, India menyebarkan Islam di Alam Melayu
4. Teori ini dicabar oleh G.E Morisson & S.Q Fatimi.
5. G.E Morisson & S.Q Fatimi: Islam datang dari Bengal
6. G.E Morisson: Ketika Samudera Pasai diislamkan, Gujerat dan daerah- daerah lain di India masih lagi beragama hindu. Bengal lebih dahulu menerima Islam setelah ditawan oleh orag-orang Islam pada awal abad ke-13, diikuti dengan kawasan-kawasan lain.
7. S.Q Fatimi: Malikus Salleh adalah orang berketurunan Benggali. Batu nisan beliau (1297) berbeza daripada batu nisan di Pasai (1428) dan batu nisan Malik Ibrahim di Gerisek (1419) sebab itu negeri Bengalah negeri utama asal agama Islam.
8. S.M Naquib al-Atas: batu nisan ini hanya menunjukkan ianya mudah dipesan dari sana, bukannya menunjukkan Islam datang dari sana.
9. Ahli sejarah Belanda, Josselin De Jung (1965); Daerah Pasai yang terletak di Pantai Sumatera Utara adalah sebuah negeri yang mana penduduknya mengamalkan ajaran Islam lebih awal berbanding kedatangan Marco Polo pada tahun 1292 M.



Teori Kedatangan Islam Dari China.

i. Syed Naquib al-Atas menyebut tentang pemberontakan di Canton pada tahun 877 M yang mengorbankan kira.kira 120000 hingga 200000 pedagang yang kebanyakannya beragama Islam (Arab dan Parsi). Manakala yang selebihnya terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan berhirah ke Kalah (Kedah)
ii. S.Q Fatimi: kewujudan kerajaan Bani Champa (1000-1471 M) yang dianggap didirikan oleh pelarian Syiah Alawiyah, Damsyik tetapi serangan kerajaan Annam, mereka berpindah ke Mekah dan Acheh
iii. Batu Bersurat di Terengganu yang sebenamya bertarikh 1301 M mempunyai persamaan dengan batu nisan yang ada di Champa Selatan
iv. Juga ada persamaan pada batu nisan Fatimah Bt. Maimon (1082M di Leran, Jawa Timur dengan batu nisan di Phan rany, Champa Selatan 1039 & 1035M)
v. Dr. Abdul Jalil Hj. Hassan: dalam catatan sejarah Chau-Ju-Kua (1225M) terdapat negeri Islam yang disebut sebagai 'Fo-lo-an' ialah Kuala Berang di Terengganu yang menjalankan perniagaan dengan orang Arab di samping Srivijaya. Batu bersurat 1303 M di Kuala Berang, nyatalah Terengganu sebagai negeri yang mempunyai pengaruh Islam pada ketika itu
vi. Terbaru pula ditemui batu bersurat di Teluk Cik Munah, di Pahang yang bertarikh 702 H (1303 M) itu. Ini menunjukkan bahawa kemungkinan Islam masuk melalui Pantai Timur iaitu bererti dari China dan Indochina.


Teori Kedatangan Islam dari Arab/Parsi

i. Wang Gungwu & C.A Majul: pedagang Arab sehingga abad ke 9M menguasai kegiatan perdagangan laut antara Mesir, India, Asia Tenggara & China serta didirikan penempatan di kawasan Pantai Nusantara. Semua ini berlaku sejak zaman jahiliah hingga abad pertama hijrah
ii. S.M Nuqaib al-Atas: perkembangan Islam di rantau ini benar-benar dari Tanah Besar Semenanjung Arab disebabkan pengaruh dari sudut tulisan dan hasil karangan yang berasal dari Asia Barat. Tulisan jawi dan cara pembacaan al-Quran juga jelas pengaruh dari Asia Barat
iii. Mubaligh Islam daerah ini terdiri daripada orang Arab/Parsi
iv. Fahaman keagamaan yang dibawa oleh mereka bersifat Timur Tengah, bukan dari India contohnya cara penghuraian mazhab ilmu tasawuf dan sebagainya




v. Hamka :telah menjadi kepercayaan sejarah pada seluruh negeri melayu bahawa mereka menerima Islam dari Arab atau daripada salah seorang syeikh atau waliullah dari Arab dan atas alasan: pengislaman ke negeri-negeri melayu adalah langsung dari sumber Makkah dengan terutusnya Syeikh Ismail oleh Sharif Makkah yang singgah di Malabar untuk mengambil 'Fakir Muhd' (keturunan Abu Bakar as-Siddiq) menyertai ke Nusantara untuk mengislamkan Merah Silu
vi. Pengislaman Parameswara dilakukakan oleh Syed AbduI Aziz yang datang dari Jeddah
vii. Pengislaman di Acheh dirintis oleh Syeikh Abdullah Arif yang datang dari Tanah Arab bersama, muridnya Burhanuddin
viii. Maulana Malik Ibrahim (salah seorang wali songo) turut mempelopori penyebaran Islam di Jawa adalah keturunan Ali Zainal Bidin, cucu Saidina Ali
ix. Sunan Gunung Jati/ Sharif Hidayatullah Saleh, Wali Songo turut mengembangkan Islam di Jawa adalah bangsawan Quraisy
x. Pengislaman Raja Kedah dalam Hikayat Merong Mahawangsa dilakukan oleh Syeikh Abdullah Yamani, ulama Arab
xi. Pengislaman di Pulau Sulu diusahakan oleh Sayyid Abdul Aziz yang mengislamkan Parameswara dan juga Abu Bakar, seorang penyair Arab.


2.1 Penyebaran Islam Ke Alam Melayu

Dalam proses penyebaran Islam ke Alam Melayu dua faktor penting yang mebawa kepada perkembangan Islam ke Alam Melayu ialah


Pertama, peranan golongan-golongan penyebar Islam yang terdiri daripada golongan bangsawan, peranan kerajaan-kerajaan Islam, golongan mubaligh, golongan ulama dan sufi serta pedagang-pedagang asing.

Kedua, ciri-ciri yang terdapat pada agama Islam itu sendiri seperti;

a. Islam tidak memaksa masyarakat Alam Melayu supaya menerima
ajarannya.
b. Islam merupakan agama yang sederhana dan sifatnya ini telah mendapat tempat dikalangan masyarakat melayu.
c. Agama baru juga boleh mengasimilasikan ajarannya dengan budaya masyarakat melayu yang telah sebati dengan diri mereka.

3.0 Pusat-Pusat Tamadun Melayu Selepas Kedatangan Islam

Selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu maka wujudlah beberapa pusat-pusat Tamadun Melayu umpamanya;

3.1 Kerajaan Pasai (1250-1524 M)

Kerajaan Pasai lebih dikenali sebagai Kerajaan Melayu pertama yang memeluk agama Islam berikutan dengan peristiwa pemelukan Islam oleh pemerintahnya Merah Silu (Sultan Malik al-Salih). Pasai merupakan zaman kegemilangan Kesusteraan Melayu memandangkan sistem tulisan Bahasa Melayu iaitu tulisan Jawi telah bertindak sebagai medium penyebaran agama dan kesusasteraan Melayu-Islam ketika itu.

Ketinggian daya penciptaan yang mencerminkan ketinggian pemikiran bangsa melayu dapat dikesan melalui penghasilan pelbagai hasil kesusasteraan agama seperti ;

a. Hikayat Nabi Bercukur
b. Hikayat Nabi Wafat
c. Hikayat Nur Muhammad
d. Hikayat Bulan Berbelah dan sebagainya.

Hikayat Raja Pasai merupakan hasil kesusasteraan sejarah yang menjadi sumber pemikiran Tamadun Melayu melalui beberapa dimensi iaitu;





a. Sistem Kepercayaan

- Agama Islam menjadi teras kepercayaan masyarakat Melayu
-
b. Sistem Politik dan Pentadbiran

- Sistem Feudal (bangsawan) merupakan bentuk sistem pentadbiran yang diamalkan di kebanyakan kerajaan Melayu Tradisi.

c. Sistem Sosial dan Budaya

- Masyarakat melayu mempunyai hierarki sosialnya yang mana Raja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan dan diikuti oleh golongan pegawai, pemimpin-pemimpin tempatan dan seterusnya rakyat biasa.
- Dari aspek kebudayaan ditonjolkan adat istiadat melayu seperti adapt menyambut kelahiran putera raja, adapt pertabalan raja dan sebagainya.


d. Sistem Ekonomi

- Hikayat Raja Pasai telah melukiskan kegiatan ekonomi masyarakat Melayu tradisi seperti memungut hasil hutan, memburu dan menternak binatang serta bertani (padi huma). Masyarakat Melayu juga pada ketika itu telah ada aktiviti perdagangan dan perlombongan emas.



Dapatlah kita lihat atau renungkan bahawa Pasai merupakan pusat intelektual Melayu-Islam yang terus berkembangan biarpun Melaka mengambil alih sebagai pusat Tamadun Melayu. Namun begitu Pasai tetap menjadi sumber rujukan kepada Melaka yang berkaitan dengan agama Islam.


3.2 Kerajaan Melaka (1400-1511 M)

Kerajaan Melaka telah wujud pada awal abad ke-15 Masihi. Pada mulanya ia merupakan sebuah kerajaan yang kecil yang menjadi mangsa serangan dari luar terutamanya dari Siam. Mujurlah pada masa itu terdapat kekuatan angkatan laut China di Asia Selatan yang melindungi Melaka. Angkatan China ini dipimpin oleh Laksamana Cheng Ho ( atau Cheng He ) yang beragama Islam.

Setelah kedatangan Islam Melaka telah muncul sebagai sebuah kuasa dan empayar yang terpenting dalam Tamadun Melayu khususnya sebagai;



3.2.1 Pusat Penyebaran Agama Islam

Kerajaan Melaka muncul sebagai pusat agama Islam yang terpenting di Asia Tenggara menjelang pertengahan abad ke-15. Pemerintah pertama yang memeluk agama Islam ialah Megat Iskandar Syah manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Melaka pada ketika itu. Terdapat pelbagai cara atau kaedah digunakan bagi menyebarkan agama Islam di Melaka seperti melalui perkahwinan, perdagangan, penaklukan wilayah serta kegiatan mubaligh atau pendakwah.

3.2.2 Pusat Perdagangan

Melaka muncul sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang sibuk dan maju disebabkan oleh kedudukannya yang strategic iaitu terletak ditengah-tengah jalan perdagangan Timur-Barat. Empat orang Syahbandar telah ditugaskan untuk menyediakan kemudahan bagi aktiviti perdagangan dan juga memungut cukai. Dengan kata lain, Melaka ketika itu telah mempunyai sistem ekonomi yang sistematik dan teratur bagi melicinkan lagi perjalanan aktiviti ekonominya. Ini telah mendorong Melaka muncul sebagai pusat Tamadun Melayu yang termaju pada abad itu.


3.2.3 Pusat Perkembangan Bahasa Melayu

Melalui peranan sebagai pusat perkembangan bahasa Melayu, ianya mempunyai perkaitan yang rapat dengan peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama islam dan pusat perdagangan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pendakwah yang mana ia telah digunakan bagi menyebarkan agama Islam.

4.0 Kesan Dan Pengaruh Islam Dalam Tamadun Melayu

Kesan kedatangan Islam ke Alam Melayu boleh dilihat melalui pelbagai dimensi kehidupan masyarakat Melayu antaranya iaitu;





4.1 Sistem Politik Pentadbiran dan Perundangan

Sistem politik pentadbiran dan perundangan Tamadun Melayu sememangnya banyak mengalami perubahan selepas kedatangan Islam. Dalam sistem kesultanan Kerajaan Utmaniyyah telah diperkenalkan dimana ketua negara dan ketua agama Islam ialah Sultan iaitu sebagai amanah Allah di muka bumi. Baginda dibantu oleh penasihat, ulama dan mufti semasa menjalankan pentadbiran. Malah penggunaan kata “raja” yang berasal daripada bahasa Sanskrit juga telah ditukarkan kepada perkataan Arab iaitu “Sultan”.

Manakala dari aspek perundangan pula, undang-undang Islam iaitu Hukum Syara’ telah dijadikan sebagai asas kepada sistem perundangan Tamadun Melayu. Sebagai contoh Hukum Kanun Melaka yang mengambil undang-undang Islam sebagai asasnya untuk mengukuhkan sistem perundangan Kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hukum Kanun Melaka yang juga dikenali sebagai Undang-undang Darat Melaka atau Risalat Hukum Kanun yang mengandungi 44 Fasal yang berkuatkuasa di Melaka dan kawasan jajahannya. Antara kandungan Hukum Kanun Melaka ialah;
a) tanggungjawab raja dan pembesar
b) pantang larang dikalangan anggota masyarakat
c) hukum kesalahan awam dan jenayah
d) undang-undang keluarga
e) permasalahan ibadat dan muamalat
f) hokum perhumaan

Antara yang jelas mengikut undang-undang Islam ialah undang-undang keluarga. Tetapi dalam hal-hal lain, wujud percampuran antara hukum aadat dengan hukum syara’.


4.2.1 Pendidikan dan Pandangan Semesta

Semasa zaman Hindu, sistem pendidikan hanya diberikan kepada golongan bangsawan sahaja. Namun setelah kedatangan Islam sistem pendidikan lebih bersifat menyeluruh yang mana golongan rakyat biasa juga telah diberi peluang mendapatkan pendidikan selaras dengan ajaran agama Islam yang menekankan pendidikan untuk semua umat manusia tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang. Sistem pendidikan madrasah, pondok telah diperkenalkan malah masjid dan surau telah menjadi institusi pendidikan yang penting setelah kedatangan Islam. Institusi istana pula telah menjadi pusat penyebaran ilmu pengatahuan yang berkaitan dengan agama Islam. Menurut pandangan salah seorang sarjana Islam, Syed Naquibb al-Attas, pandangan semesta Islam merangkumi dunia dan akhirat yang mana aspek dunia merupakan persediaan bagi aspek akhirat.

Oleh itu pandangan semesta dari prespektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Islam cenderung kepada menyuburkan dirinya kepada seluruh alam manusia.Kunhi dhat semangat kegamaan Islam itu, sebagaimana disebutkan tadi, ialah kepercayaan ketuhanana yang tunggal, dan ini terkandung dalam satu konsepsi tersendiri peri keEsaan Tuhan atau Tauhid. Ditilik dari segi pandangan falsafah menerusi ilmu kalam dan tasawwuf, Tauhid mengemukakan suatu ontologi, kosmologi dan psikologi tersendiri dalam satu konsep agung yang biasa dinamai dengan istilah Keesaan Wujud atau Wahdat al-Wujud.
Ontologi dan psikologi demikian itu tiadalah boleh sewenang-wenangnya disamakan dengan falsafah Neo-Platonisme dan falsafah Hindu sebagaimana yang dihuraikan mengikut pandangan Vedanta, sebab pada umumnya konsep-konsep itu berdiri tegak atas dasar-dasar terdapat yang terkandung dalam al-Quran yang berkesan mendalam bagi tiap segi dan kaedah, tiap aspek kehidupan orang Islam.

4.3 Kehidupan Masyarakat Melayu

Perubahan dalam kehidupan masyarakat melayu amat jelas kelihatan setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Pada umumnya perubahan penting sememangnya telah berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu berikutan penerimaan Islam oleh mereka. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa gabungan antara kepercayaan yang terbentuk oleh rukun Iman dan kehidupan yang direncana dan diransangi oleh ritus dan institusi Islam telah mewujudkan batasan budayanya yang tersendiri. Tetapi apakah dalam semua segi kehidupan mereka perubahan redikal telah benar-benar berlaku, atau perubahan seumpama itu hanya berlaku dalam aspek tertentu dalam kehidupan tersebut, umpamanya dalam aqidah mereka, sehingga pandangan hidup masyarakat Melayu mengalami transformasi, daripada kepercayaan animisme kepada kepercayaan tauhid.

Dalam institusi kesultanan umpamanya sultan dianggap sebagai amanah Allah yang mana Sultan dibantu oleh para ulama dan agama Islam telah menjadikan agama rasmi kerajaan-kerajaan Melayu. Sesungguhnya agama Islam telah merubah kehidupan masyarakat melayu melalui pelbagai demensi kehidupan. Namun begitu adat-adat lama masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu masih dipraktikkan tetapi tidak merosakkan aqidah masyarakat Melayu.








5.0 Kesimpulan

Kedatangan Islam ke Alam Melayu sememangnya membawa banyak perubahan dan pengharapan baru dalam keagungan Tamadun Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya pusat-pusat tamadun unggul didunia amnya dan di Asia Tenggara khasnya adalah kesan daripada pengaruh Islam yang meresap masuk kedalam tamadun itu.

Daripada apa yang dibincangkan diatas kedatangan Islam bukan sahaja mewujudkan pusat-pusat Tamadun Melayu yang unggul tetapi Islam juga telah menyebabkan perubahan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat melayu termasuklah sistem politik pentadbiran dan perundangan, pendidikan dan pandangan semesta dan kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan