Jumaat, 22 Januari 2010

Hubungan Etnik - sistem pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris dI Tanah Melayu dan kesannya ke atas masyarakat Melayu pada zaman tersebut .

1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan.
Sebelum kedatangan kuasa penjajah, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan kepada kitab suci Al – Quran. Aktiviti mereka terhad kepada membaca Quran, huruf abjad Arab, mengingat dan menghafaz doa serta mempelajari prinsip – prinsip agama Islam. Pada masa itu organisasi masyarakat Melayu adalah kurang kompleks. Kebanyakkan orang Melayu hanya bekerja sebagai petani atau nelayan.
Sistem Pendidikan lama ini telah mengalami perubahan yang besar selepas kedatangan pihak Kolonial Inggeris ke Tanah Melayu. Pihak Kolonial Inggeris telah memperkenalkan satu sistem pendidikan yang lebih sistematik. "Pada peringkat ini (1824-1957) Pendidikan di Tanah Melayu telah dikelola, dikendali, dikawal dan diletakkan di bawah kuasa penjajah Inggeris tanpa mempunyai satu falsafah yang konkrit atau Dasar Pendidikan Kebangsaan." (Abdullah Sani & P. Kumar, 1990:1). Sistem Pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan Inggeris ialah 4 sistem persekolahan iaitu Sekolah Vernakular Melayu, Sekolah Vernakular Cina, Sekolah Vernakular Tamil dan Sekolah Inggeris.

1.2 OBJEKTIF

Objektif kertas kerja ini ialah untuk menerangkan tentang corak sistem pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris dI Tanah Melayu dan kesannya ke atas masyarakat Melayu pada zaman tersebut .

1.3 KAEDAH KAJIAN
Kaedah yang diguna pakai di dalam menyiapkan tugasan ini ialah dengan menggunakan kaedah kepustakaan. Beberapa buah buku, Modul PPL, majalah, jurnal, artikel telah digunakan sebagai panduan dan rujukan semasa menyusun atur tugasan yang diberikan ini. Segala bahan yang diperolehi daripada pelbagai sumber ini dianalisis dan disusun atur mengikut kesesuaian untuk dikelas serta dikategorikan di bawah sub-topik tugasan ini.

1.4 BATASAN KAJIAN
Penulis membantaskan kajian ini tentang sistem pendidikan semasa zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu antara tahun 1400 – 1957, latar belakang sistem pendidikan dan tentang pendidikan sekolah vernakular Melayu, Cina dan India dan kesannya ke atas masyarakat Melayu di Tanah Melayu .

1.5 DEFINISI KONSEP

Menurut kamus dewan perkataan terangkan membawa maksud huraian untuk menerangkan sesuatu, penjelasan ( 1986 ; 1243 ), corak pula membawa pengertian berupa ( bersifat, berbentuk, berfahaman dan lain-lain ( 1986 : 21 ), sistem membawa maksud cara atau kaedah untuk melakukan sesuatu, aturan ( 1986 : 1120 ), pendidikan bermaksud perihal mendidik ( 1986 : 262 ), semasa pula bermaksud sewaktu atau ketika itu, zaman penjajahan bermaksud zaman pemerintahan dari kuasa luar dari , kesan pula bermaksud impak atau pun peninggalan hasil daripada perbuatan sesuatu, masyarakat Melayu bermaksud penduduk yang tinggal di tanah semananjung.

2.0 SISTEM PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA
2.1 Latar belakang pendidikan
Sebelum kedatangan kuasa penjajah pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kongnitif pelajar-pelajar. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-Quran, tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan.
Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut 'sekolah pondok ' yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar menuntut di madrasah agama dan tinggal di pondok yang di bina di sekelilingnya.
Peringkat kedua dalam perkembangan sistem pendidikan di Tanah melayu berlaku semasa zaman penjajahan Inggeris ( 1824-1957 ). Pada peringkat ini pendidikan di Tanah melayu telah dikelola, dikendalikan, dikawal dan diletakkan di bawah kuasa penjajah Inggeris tanpa mempunyai satu falsafah yang konkrit atau Dasar pendidikan Kebangsaan.
Pentadbiran pendidikan di Tanah melayu semasa ini adalah mengikut dasar penjajah iaitu "pecah dan perintah " serta dasar terbuka dan tiada campurtangan tentang pendidikan vernakular. Matlamat utama sistem pendidikan penjajah ialah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada segolongan rakyat bagi membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi. Dengan itu, Inggeris mula memberi tumpuan besar kepada pelajaran Inggeris 1816. Walau bagaimanapun perhatian kepada pelajar melayu hanya sekadar melepas batuk ditangga sahaja, iaitu menunaikan kewajipan kepada anak watan sesuai dengan perjanjian Inggeris dengan pembesar - pembesar tempatan.
Pendidikan pada peringkat ini telah berjalan secara ad hoc tanpa dibendung oleh satu garis panduan atau batasan-batasan yang konkrit. Ini adalah kerana pemerintah Inggeris tidak menggangap pendidikan sebagai satu pelaburan di 'periphery'nya untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan rakyatnya bagi mencapai kemajuan. Sebaliknya mereka mengendalikan pendidikan di bawah dasar kebajikan benevolen (benovelent welfare policy). Oleh itu objektif pemerintahan Inggeris adalah bukan hendak mengubah atau memajukan struktur sosial tetapi sekadar menjadikan keadaan struktur sosial yang sedia ada itu sedikit efisien sahaja.Tegasnya, pendidikan pada zaman ini berkembang secara sewenang-wenangnya tanpa satu dasar yang jelas dapat membina dan memupuk unsur- unsur kebangsaan di kalangan rakyat.
Akibat dasar Inggeris tersebut maka wujudlah sistem pendidikan plural (plural educatin al system) sesuai dengan keadaan struktur masyarakat majmuk Terdapat lima aliran bahasa iaitu bahasa Cina, Melayu, Arab dan Tamil. Sistem pendidikan plural ini tidak dapat menyemai serta memupuk semangat Kebangsaan dikalangan penduduk yang berbilang kaum. Orientasi pendidikan yang Sumbang ini telah menekan dan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka.
2.2 Pendidikan Melayu

Sistem Pendidikan sudah pun wujud di Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa-kuasa penjajah tetapi ianya adalah berbeza dengan apa yang diperkenalkan oleh kuasa penjajah Inggeris. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa penjajah, pendidikan di Tanah Melayu adalah berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kognitif pelajar-pelajar.¹ (Abdullah Sani & P. Kumar, 1990:1). Corak pendidikan yang ada pada masa itu ialah sistem pendidikan agama (Sekolah Pondok). Sekolah-sekolah pada ketika itu tidak menumpukan masa untuk mengajarkan pelajaran membaca, menulis dan mengira ataupun memberikan kemahiran-kemahiran pekerjaan, tetapi menumpukan masa kepada pengajaran agama. (Abu Zahari, 1980:6).
Pendidikan Melayu yang awal menekankan pengajaran Quran dan pengetahuan asas membaca, menulis dan mengira(3M). Pendidikan Melayu diadakan hanya diperingkat rendah sahaja. Anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi dan ingin melanjutkan pelajaran terpaksa memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar. Tujuan utama sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 ialah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal di desa, mewarisi kemiskinan keluarga. Oleh itu pendidikan yang berbentuk sekular dalam bahasa melayu dihadkan kepada empat tahun sahaja dengan skop dan kokurikulum yang terhad. Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti menegak di kalangan masyarakat Melayu.
Pada awal abad ke 20), bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap Pendidikan menengah, Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model English Grammar School pada tahun 1905. Akan tetapi, sekolah ini adalah khas untuk golongan bangsawan sahaja. Latihan guru-guru melayu dimulakan pada tahun 1878 di Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1922, bagi memenuhi permintaan yang bertambah terhadap guru-guru sekolah melayu yang berkelayakan, Maktab Perguruan Sultan Idris telah ditubuhkan. Kemudian penubuhan terhadap Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka pada tahun 1935. Jelaslah di sini ,dasar pentadbiran Inggeris ialah untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Orang-orang Melayu tidak digalakkan ke Bandar, cuba memisahkan orang melayu daripada kemajuan perbandaran dan perindustrian.
Satu lagi jurusan persekolahan untuk menampung persekolahan anak-anak melayu ialah sekolah Arab dan Agama. Sekolah ini dikendalikan secara tidak formal dan kurikulumnya menekankan pengajaran Quran serta pendidikan moral dan kerohanian. Selepas perang Dunia Pertama, sekolah-sekolah Arab dan Agama telah muncul di merata-rata tempat di semenanjung Tanah Melayu terutama di negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang. Dengan berilhamkan ajaran – ajaran reformis dari Asia Barat seperti Muhamad Abduh sekolah Agama telah menjadi alternatif yang sesuai untuk mendapat pendidikan bagi masyarakat ketika itu. alternatif ini membekalkan kekuatan, semangat dan bimbingankepada muridnya untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan akibat daripada prosese sekularasi yang dianjurkan oleh institusi barat.
2.3 Pendidikan Cina
Dasar terbuka dan tidak campurtangan Inggeris dalam hal ehwal sosial kaum pendatang menyebabkan wujudnya sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh masyarakat masing.masing tanpa bantuan daripada lnggeris hinggalah tahun 1920-an selaras dengan tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan kebudayaan serta identiti bangsa masyarakat Cina mula bergiat menubuhkan sekolah Cina sejak awal abad ke 19.
Kurikulumnya berorientasikan negeri Cina, dan buku-buku teks serta guru-guru juga dibawa masuk dari sana. Isi kurikulumnya menegaskan pengetahuan dalam bidanrg 3M iaitu membaca, mengira dan menulis serta lukisan, Bahasa Inggeris, Ilmu Alam, Sejarah, Kraftangan dan pengetahuan am. Pada tahun 1920-an pengaruh kuat sekolah Cina telah menyedarkan Kerajaan Inggeris tentang bahaya pertumbuhan sekolah Cina tanpa kawalan.
Oleh itu pentadbiran lnggeris mula memperkenalkan satu undang- undang pada tahun 1920 iaitu Enakmen Pendaftaran Sekolah diwujudkan. Tujuannya untuk mengelakkan sekolah ini daripada terasing serta mengawal aktiviti sekolah ini. Bermula tahun 1924, sebahagian sekolah-sekolah cina ini menerima bantuan kewangan daripada kerajaan. Pada amnya, guru-ruru di sekolah ini tidak ada latihan formal sehinggalah selepas perang Dunia Kedua apabila program latihan kelas formal telah diadakan. Dasar pentadbiran Inggeris ini secara langsung atau tidak langsung mewujudkan jurang pendidikan di antara anak-anak Melayu dan Cina.
2.4 Pendidikan Tamil
Sekolah-sekolah Tamil didirikan di lading-ladang getah yang sebahagian besar kaum keturunan India ditempatkan, seperti sekolah- sekolah Cina, sekolah Tamil juga didirikan dan dikelolakan oleh masyarakat India sendiri. Pihak Kerajaan atau majikan ladang getah tidak memberi bantuan sama ada dari segi fizikal, kewangan dan pedagogi.
Oleh itu sekolah - sekolah Tamil yang didirikan di ladang - ladang getah menghadapi beberapa kekurangan dari segi isi kandungan kurikulum, tenaga pengajar dan pedagogi. Sekolah ini adalah tidak berfungsi dan bersifat cul- de- suc iaitu sebahagian besar pelajarnya akan kekal di ladang getah menjadi buruh kasar. Pada tahun 1923, negeri-negeri Melayu Bersekutu telah meluluskan satu rang undang-undang. Satu peruntukan telah dimasukkan ke dalam ordinan ini iaitu majikan ladang getah diwajibkan membina sekolah bagi anak-anak pekerja mereka. Mubaligh kristian juga banyak memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan Tamil. Kurikulum di sekolah-sekolah Tamil ini disesuaikan mengikut negeri India, begitu juga kebanyakan guru serta buku -buku teks telah dibawa masuk dari India. Kurikulumnya nya menegaskan pengetahuan dalam kemahiran asas 3 M membaca, mengira,dan menulis karangan,ilmu alam dan kebersihan diri (personal hygiene)sebelum perang dunia kedua, program latihan guru kelas normal, selama 3 tahun telah dimulakan untuk guru-guru sekolah Tamil.
Pendidikan di sekolah Tamil juga terhad di peringkat rendah sahaja.. Dasar pemerintahan Inggeris terhadap perkembangan pembangunan sekolah Tamil terus menambahkan lagi jurang pendidikan di antara tiga kaum utama di negara kita iaitu Melayu, Cina,dan India.
2.5 Pendidikan Inggeris
Pendidikan Inggeris mula diperkenalkan di tanah Melayu apabila Penang Free School ditubuhkan pada tahun 1816 . Pada pertengahan abad ke 19, mubaligh kristian membantu menubuhkan beberapa buah sekolah Inggeris. Kebanyakan sekolah ini ditubuhkan di kawasan - kawasan bandar dengan bantuan kerajaan Inggeris. Kurikulumnya bercorak Kurikulum ber grammar School of Great Britain dengan tujuan mengeluarkan pegawai - pegawai tadbir rendah bagi memenuhi keperluan kuasa, metropolitan British. Pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris diadakan pada peringkat rendah dan menengah. Bagi memenuhi keperluan guru pelatih, program latihan guru kelas normal dimulakan di Kuala Lumpur pada tahun 1905 dan di Pulau Pinang pada tahun I907.
Kursus-kursus pendidikan peringkat diploma kemudiannya ditawarkan di Raffles College, Singapura. Manakala pembelajaran tinggi bermula dengan penubuhan Medical School di Singapura pada tahun 1905, dan pada tahun 1912, namanya telah ditukar menjadi King Edward VII Medical College. Raffles College yang ditubuhkan pada tahun 1928, menawarkan kursus-kursus dalam bidang Sastera dan Sains.
3.0 SISTEM PENDIDIKAN SEMASA PENJAJAHAN BRITISH
3.1 Perkembangan Sekolah Vernakular Melayu ( 1786 – 1941 )
Sistem sekolah vernakular hanya diperkenalkan mulai dari pertengahan kurun ke – 19 apabila kerajaan British mula mengambil perhatian terhadap pendidikan di Negeri – negeri selat. Pada tahun 1854 Gabenor Jeneral dari India telah mengarahkan Blundell, Gabenor Negeri – negeri Selat, menyediakan satu laporan mengenai sistem pendidikan di Negeri – negeri Selat serta cadangan – cadangan yang boleh memberi pendidikan kepada rakyat di bawah pemerintahan British. Blundell, tidak puasa hati dengan sistem pendidikan di Negeri – negeri Selat, terutamanya pendidikan vernakular Melayu. Beliau mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah – sekolah vernakular Melayu di Negeri – negeri Selat dengan bantuan kerajaan British.
Pada tahun 1856, dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor dan Gabenor Blundell, dua buah sekolah vernakular telah ditubuhkan di Singapura, sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam. Selapas itu kerajaan British telah mendirikan sekolah vernakular Melayu di Pulau Pinang dan Melaka.
Penubuhan sekolah vernakular ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Ibubapa menaruh sangsi terhadap faedah menghantar anak – anak mereka ke sekolah yang tidak mengajar agama Islam.
Justeru itu, A.M Skinner Pemangku Majistret di Seberang Prai cuba mendirikan sekolah – sekolah vernakular Melayu dengan pengubahsuaian daripada dasar kelas Quran. Mengikut cadangan Skinner, di sekolah percubaan itu, pelajaran pada waktu pagi ditumpukankan pelajaran Bahasa Melayu, manakala pelajaran Al-Quran akan diajar pada waktu petang.
Sistem yang diperkenalkan olek Skinner disambut baik dikalangan ibu bapa. Oleh itu sistem pendidikan ini bukan sahaja mendapat kejayaan di Seberang Prai, tetapi juga di negeri – negeri lain, terutamanya selepas Skinner dilantik menjadi nazir sekolah pada tahun 1872.
Antara mata – mata pelajaran yang diajar di sekolah vernakular Melayu ialah Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis Ilmu Hisab, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam. Lampiran 1 menunjukkan jadual waktu di sebuah sekolah Melayu dalam tahun 1880. Mulai dari awal kurun ke-20, mata – mata pelajaran seperti Perkebunan dan Anyaman ditambah dalam kurikulumnya, ini berdasarkan cadangan Winstedt dalam laporannya pada tahun 1917. Sekolah Vernakular Melayu hanya terbatas pada darjah empat sahaja. Murid – murid di sekolah Melayu hanya belajar menulis, membaca, mengira, kegiatan perkebunan dan cara menganyam. Kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada darjah empat. Hanya segolongan kecil dapat memasuki Maktab Perguruan atau Malay Special Class, di mana mereka boleh meneruskan pelajaran mereka di sekolah Inggeris nanti.
3.2 Perkembangan Sekolah Vernakular Cina
Sekolah Vernakular Cina pertama yang terdapat di Tanah Melayu, adalah di dirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815. Perkembangan pendidikan Cina di Tanah Melayu bermula dari tahu 1900 apabila Kang You Wei dan Liang Qi Chau, menteri dan pendidik yang terkenal di Negeri China, terpaksa melarikan diri ke Tanah Melayu selepas reformasi mereka di Negeri China gagal. Kedua mereka menggalakan orang cina supaya mendirikan sekolah berdasarkan prinsip pendidikan baru yang menggabungkan pengajaran Confucius dengan sains Barat. Ramai pemimpin tempatan menyambut baik sistem pendidikan cina yang diperkenalkan oleh mereka. Sebelum ini, kurikulum sekolah vernakular Cina adalah berdasarkan pelajaran klasik lama. Selain daripada menghafaz klasik lama, murid – murid juga belajar kaligrafi dan ilmu kira – kira dengan menggunakan abakus. Rumah orang atau kuil sembahyang digunakan sebagai tempat menuntut ilmu. Bahasa pengantar yang digunakan untuk mengajar ialah dielak tempatan.
Kerajaan British pada masa itu mengamalkan polisi yang liberal terhadap penubuhan sekolah Cina di Tanah Melayu. Apabila Republik China ditubuhkan pada 1911, kerajaan China terus menyalurkan bantuan kewangan serta memberi nasihat mengenai pentadbiran sekolah Cina di Tanah Melayu. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan ideologi Republik Rakyat China kepada orang Cina di Tanah Melayu.
Menjelang Tahun 1920, terdapat 313 buah sekolah Cina telah dibina di Negeri – negeri Selat dan 181 buah sekolah Cina di Negeri – negeri Bersekutu.² Satu reformasi kebudayaan telah berlaku di China ianya membawa kesan yang besar atas sisitem pendidikan Cina di Tanah Melayu. Salah satu perubahan baru ialah sekolah – sekolah vernakular Cina mula menggunakan bahasa Mandarin, yang telah menjadi menjadi bahasa pengantar yang rasmi di Negeri China. Semua buku teks datangnya dari Tanah Besar China.
Penjajah British mula sedar bahawa sekolah – sekolah Cina di Tanah Melayu telah menjadi tempat – tempat untuk menyebarkan ideologi kerajaan Cina. Pihak British telah pun menukar polisi liberal yang diamalkan dulu dengan meluluskan Enakmen Pendaftaran Sekolah di Tanah Melayu pada tahun 1920, tujuannya untuk mengawal aktiviti – aktiviti subversif di sekolah Cina. Antara perkara yang terkandung dalam Enakmen pendaftaran sekolah ialah :
 Pengarah Pelajaran mempunyai kuasa menutup sebarang sekolah yang tidak mengikut peraturan mengenai kurikulum, pentadbiran dan keadaan kesihatan sekolah itu yang ditetapkan oleh pentadbiran British.
 Semua guru dan pentadbirnya dikehendaki berdaftar dan diseliakan oleh Pengarah Pelajaran.
 Sekolah – sekolah Cina yang didaftar di bawah Enakmen itu akan diberi bantuan kewangan oleh kerajaan British.
 Sekolah yang hanya menggunakan dialek tempatan sebagai bahasa pengantar sahaja yang layak menerima bantuan kewangan kerajaan.
Masyarakat Cina, pada keseluruhannya telah mencabuli hak asasi orang Cina dalam pengurusan sekolah sendiri. Mereka membantah enakmen tersebut, namun demikian pihak British tetap dengan pendirian mereka.
Enakmen Pendaftaran sekolah yang dikuatkuasa pada 1922 tidak dapat menyekat perkembangan sekolah Cina. Justeru itu bahasa Mandarin juga telah diiktiraf oleh kerajaan British sebagai bahasa rasmi di di sekolah Cina.
3.3 Perkembangan Sekolah Vernakular Tamil
Perkembangan sekolah Vernakular Tamil sebenarnya bermula semasa perkembangan ladang getah, kelapa, kopi dan gula di mana ramai buruh dari India diambil untuk bekerja di ladang – ladang tersebut. Penubuhan Sekolah Vernakular Tamil ini bergantung kepada majikan mereka atau usaha dari Persatuan Mubaligh, kebetulan pada masa itu British masih lagi mengamal dasar membantu sekolah vernakular Melayu.
Perkembangan ekonomi di Tanah Melayu pada awal kurun ke-20 memerlukan lebih banyak buruh India bekerja di ladang getah. Untuk mendorong buruh – buruh ini datang bekerja di ladang – ladang di Tanah Melayu, kerajaan British mula menukar polisi pendidikannya mulai tahun 1902. Mereka mula memberi kemudahan untuk menubuh sekolah vernakular Tamil di mana – mana tempat yang difikirkan perlu. Selain membantu sekolah vernakular Tamil di ladang British juga menubuhkan beberapa buah sekolah di bandar untuk kanak – kanak India di mana bapa mereka bekerja di Jabatan Kerja Raya atau di keretapi. Pada tahun 1920 , satu kod Buruh dikuatkuasakan. Kod Buruh itu mewajibkan setiap ladang yang terdapat sepuluh orang kanak – kanak di dalam umur persekolahan ( 7 – 14 tahun ) dikehendaki menyediakan sekolah dan guru untuk kanak – kanak itu. Menjelang tahun 1920 jumlah murid yang belajar di sekolah Tamil di Negeri – negeri Bersekutu telah meningkat lebih kurang 4000 orang. Dalam Tahun 1930 pula terdapat 4 jenis sekolah vernikular Tamil di tubuhkan di Tanah Melayu , anatarnya ialah :
i. Sekolah yang dibiayai dan diuruskan oleh kerajaan.
ii. Sekolah yang dibiayai dan diuruskan oleh majikan.
iii. Sekolah yang dibiayai dan diuruskan oleh komuniti India tempatan.
iv. Sekolah yang didirikan oleh Persatuan Mubaligh.
Untuk memperbaiki sistem sekolah vernakular Tamil, kerajaan British telah melantik seorang nazir sekolah Tamil berbangsa Eropah dalam tahun 1930.
3.4 Perkembangan Sekolah Inggeris
Penang Free School merupakan sekolah Inggeris yang pertama ditubuhkan di bawah rancangan serta bantuan kewangan kerajaan British. Penubuhan Penang Free School di bawah rancangan Hutchings telah mendorong negeri – negeri yang lain menubuhkan Sekolah Inggeris yang serupa, misalnya di negeri Melaka, sebuah sekolah Inggeris bernama Melaka Free School telah ditubuhkan pada tahun 1826.
Pada tahun 1905, kerajaan British telah menubuhkan Malay College di Kuala Kangsar, sebuah sekolah berasrama penuh, khususnya bagi anak – anak Melayu peringkat atasan.Penubuhan Malay College adalah dari inisiatif R.J Wilkinson dengan sokongan kuat dari DYMM Sultan Idris. Tujuan penubuhan adalah untuk menyediakan pegawai kerajaan bagi bahagian tertentu. Penghujung tahun 1930 barulah peluang untuk belajar di sekolah Inggeris dibuka kepada anak Melayu ( lelaki )melalui sistem Special Malay Class. Mengikut sistem ini, murid anak Melayu dari darjah 4 dipilih masuk Special Malay Class melalui suatu pepriksaan. Mereka dipilih dikehendaki belajar di Special Malay Class.
Selain daripada sekolah jenis free dan Malay College, kebanyakan sekolah Inggeris telah ditubuhkan atas usaha mubaligh Kristian. Sekolah ini juga dikenali sebagai sekolah separa bantuan dari kerajaan British. Sekolah – sekolah mubaligh ini dibuka kepada kanak – kanak berbilang kaum dan tujuan menubuhkan sekolah ini ialah menyediakan pendidikan umum serta memperbaiki akhlak kanak – kanak berdasarkan ajaran Kristian.
Sungguhpun kerajaan British menyediakan pendidikan Inggeris di Tanah Melayu dengan mengambilalih sekolah jenis free dan menjadikan mereka sekolah kerajaan, namum bilangan murid yang belajar di sekolah Inggeris amat tidak menggalakan berbanding dengan murid yang belajar di sekolah – sekolah vernakular yang lain. Rujuk Lampiran 2.
Mengikut polisi pendidikan kerajaan British , mereka tidak setuju bahawa pendidikan Inggeris dibuka secara bebas kepada orang ramai. Kerajaan British berpendapat memberi pendidikan Inggeris kepada kanak – kanak tempatanakan menimbulkan masalah pengangguran serta perasaan kurang memberi galakan untuk memperkembangkan pendidikan Inggeris di tanah jajahan mereka.
3.5 Institusi – Institusi Pendidikan Yang Lain
Sistem pendidikan sekolah Cina dan sekolah Inggeris merupakan lebih maju dan lebih sempurna. Bagi sekolah Cina mereka ada sekolah menengah hingga Tingkatan 6. Selain itu mereka juga boleh melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti di Negeri China.
Sekolah Inggeris juga ada mempunyai sekolah menengah hingga ke peringkat Diploma. Murid – murid dari sekolah Inggeris mempunyai peluang yang lebih luas dalam bidang pendidikan tinggi. Selepas lulus peperiksaan Sijil Cambridge Seberang Laut, yang diperkenalkan kali pertama di Tanah Melayu pada tahun 1891. Murid – murid mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran mereka ke institusi – institusi seperti Kelas Normal, Kolej Pertanian, Kelas Queen’s Scholarship dan seterusnya ke SekolahTeknik, Kolej Perubatan, Kolej Raffles atau universiti - universiti luar negara.

3.6 Dasar Polisi Penjajah Terhadap Sistem Pendidikan
Keadaan pendidikan di sekolah Melayu, sekolah Cina,Sekolah Tamil dan Sekolah Inggeris adalah disegajakan oleh divide and rule. Dengan dasar tersebut anak – anak Melayu kekal di desa, manakala yang bukan Melayu ditadbir secara berasingan. Situasi begini mewujudkan berbagai – bagai kesulitan dari segi sosioekonomi. Tambahan lagi, terdapat berbagai – bagai bantahan daripada kaum bukan Melayu apabila cubaan diadakan untuk menyatukan semua sekolah vernakular iaitu Melayu, Cina dan India.
3.7 Laporan Winstedt
Tahun 1916 R.O Winstedt, seorang pakar dalam dalam bidang bahasa dan adat Melayu, dilantik sebagai Penolong pengarah Pelajaran. Pada tahun berikutnya beliau telah dihantar ke East Indies dan Filipina untuk membuat kajian mengenai pendidikan vernakular dan vokasional. Sekembalinya, beliau menyediakan laporan mengenai kajiannya serta mengemukan cadangan – cadangan untuk memperpaiki sistem pendidikan Vernakular Melayu di Tanah Melayu di Tanah Melayu. Cadangan – cadangan Winstedt adalah dikelaskan mengikut beberapa kategori seperti berikut :
i. Kurikulum
ii. Sekolah Vokasional dan Sekolah Pertanian
iii. Pentadbiran
iv Maktab Latihan Guru
3.8 Laporan Barnes
Pada tahun 1949, Jawatankuasa Barnes ditubuhkan untuk menyatukan semua sekolah vernakular, iaitu sekolah Melayu, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Laporan Barnes dan bertujuan untuk membubarkan sistem sekolah vernakular yang berasingan dan menggantikannya dengan sekolah kebangsaan bagi semua kaum. Sekolah tersebut akan menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Bahasa Cina dan Tamil terus diajar sebagai mata pelajaran sahaja di sekolah. Rasionalnya adalah untuk mencapai perpaduan dikalangan kanak – kanak berbilang kaum. Barnes menyarankan supaya satu corak sekolah rendah ditubuhkan, iaitu Sekolah Kebangsaan yang dibuka kepada kanak – kanak semua bangsa dan diajar oleh guru – guru daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Sekolah – sekolah bahasa ibuda semua kaum dimansuhkan sementara diperingkat menengah dan selanjutnya.
Laporan Barnes mendapat tentang dan kritikan daripada orang bukan Melayu atas alasan : Bagi orang Cina dan India berpendapat Laporan Barnes ini menggugat bahasa dan budaya mereka daripada pupus di Tanah Melayu dan berpendapat kanak – kanak ini harus menerima pendidikan rendah dalam bahasa ibuda mereka sebelum bahasa lain diajar.
3.9 Laporan Fenn-Wu
Laporan Fenn-Wu pula dibentuk untuk mengkaji pendidikan Cina di Tanah Melayu. Dua orang panasihat dari negeri China , Dr W.P Fenn dan Dr. Wu Teh Yau dijemput untuk mengkaji tentang sistem pendidikan Cina itu. Kajian ini menitikberatkan tentang aspek yang berikut :
i. Pengkajian untuk menyesuaikan sistem persekolahan yang bercorak perkauman dengan sistem persekolahan bercorak kebangsaan.
ii. Memberi nasihat tentang penyediaan buku teks yang berlatarbelakangkan kehidupan di Tanah Melayu sebagai satui cara untuk mengasimilasikan keturunan Cina ke dalam masyarakat Tanah Melayu.
Hasil daripada Laporan Fenn-Wu orang Cina memahami dan sedia belajar tiga bahasa, iaitu Bahasa Cina, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Laporan Fenn-Wu ini berusaha meyakinkan kerajaan bahawa sekolah vernakular Cina harus diteruskan kerana langkah ini boleh memberi sumbangan kerah pembentukan penduduk Tanah Melayuyang bersatu padu, iaitu melalui penggunaan buku teks yang berorientasikan negara ini.
3.10 Ordinan Pelajaran 1952
Didapati pandangan – pandangan dalam Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu itu berlainan, kerajaan British segera menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kedua – dua Laporan tersebut. Ordinan Pelajaran ini telah menggariskan beberapa perkara seperti berikut :
i. Dua jenis sistem persekolahan hendaklah ditubuhkan; sejenis sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sejenis lagi menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantarnya.
ii. Sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak diteriam sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.
iii. Sekolah Kebangsaan Melayu akan mula mengajar bahasa Melayu bermula dari Darjah Tiga.
iv. Bahasa Melayu adalah wajib di sekolah Inggeris manakala Bahasa Inggeris adalah wajib di sekolah Melayu.
Ordinan Pelajaran 1952 ini tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya kerana masalah kewangan. Kos bagi menukarkan aliran vernakular kepada sekolah kebangsaan tidak dapat ditanggung oleh kerajaanBritish pada masa itu. Tambahan pula pada masa zaman Darurat.
4.0 KESAN SISTEM PENDIDIKAN SEMASA ZAMAN PENJAJAHAN KE ATAS MASYARAKAT MELAYU
4.1 Sikap British Terhadap Pendidikan Melayu
Tujuan pihak Inggeris untuk menyediakan pendidikan Melayu khasnya dalam pembinaan sekolah adalah bertujuan untuk memenuhi selera politik penjajahan mereka sahaja. Objektif mereka adalah untuk membina pengaruh dan politik British ( Inggeris ) tanpa melihat keperluan masyarakat tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat tani. Matlamat utama mereka adalah sekadar memberi pendidikan kepada orang Melayu untuk melengkapkan tenaga manusia di peringkat rendah, iaitu di peringkat buruh. Tegasnya sekadar untuk menjadi petani yang lebih baik dari orang tua mereka dan dapat hidup gembira dalam masyarakat kampung.
Seandainya mereka ( penjajah ) membenarkan para pelajar Melayu menyambung pelajaran mereka hingga ke darjah enam adalah satu kesalahan besar bagi mereka ini adalah disebabkan bertentangan dengan prisip dan dasar pendidikan mereka. Golongan ini berpendapat tujuan utama mereka adalah sekadar menghapuskan buta huruf pada tahap yang minimum sahaja ( Cheeseman, 1848 ) Kenyataan in i memeng munasabah oleh sebab dengan hanya pencapaian setakat darjah empat, anak – anak Melayu sudah dapat membaca, membuat kiraan yang mudah dan seterusnya dapat digunakan di dalam urusan seharian supaya tidak tertipu oleh pekedai – pekedai.
Pihak British juga tidak menggalakkan orang Melayu menghantar anak mereka ke sekolah – sekolah Inggeris. Malahan R.O. Winstedt sendiri tidak setuju supaya bahasa Inggeris diajarkan di sekolah Melayu. Ada juga dikalangan anak – anak Melayu yang mendesak supaya Pihak British menubuhkan sekoalh Inggeris di Lenggong dan Krian Perak, namun sudah dasar pihak penjajah tidak mahu anak – anak Melayu ini maju maka cadangan tersebut ditolak, pihak British beralasan bahawa anak – anak Melayu di kampung hanya layak bersekolah Melayu sahaja.
Pihak British sebenarnya khuatir bahawa jika pelajaran Inggeris di beri kepada masyarakat Melayu , kesedaran politik serta pemikiran mereka akan berkembang dan seterusnya menggugat kedudukan British di Tanah Melayu. Dalam Perak Govement Gazette³ , 6 Julai 1884, telah tercatat :

Mengajar kanak – kanak membaca dan menulis dalam
bahasa ibunda mereka atau bahasa Melayu kita akan selamat.

Pihak British dengan secara tidak langsung telah menanamkan sikap memuliakan pekerjaan buruh dan mengajar orang Melayu supaya terus tinggal di kampung – kampung. Pihak British mahu supaya masyarakat Melayu tidak akan berubah nasibnya dan kekal dengan pekerjaan tradisi. Walau bagaimanapun, bagi melahirkan pemimpin Melayu yang boleh membantu birokrasi penjajah serta mengambil dan menjaga hati golongan bangsawan dan pembesar – pembesar Melayu ketika itu, Maktab Melayu ( Malay College ) Kuala Kangsar telah didirikan khas untuk anak – anak golongan ini.
Menurut Ibrahim Saad, terdapat 3 matlamat utama pendidikan pada zaman penjajahan iaitu:
i. Sekolah mempunyai tujuan memasyarakatkan kanak-kanak dengan nilai-nilai asing ataupun nilai-nilai bukan pribumi.
ii. Sekolah melantik segolongan kecil masyarakat pribumi (terutamanya dari golongan pemimpin-pemimpin tradisional) bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu mereka.
iii. Sekolah berbagai operasi memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling minimum dan diperingkat yang paling rendah. (Ibrahim Saad, 1990:7)
Ketiga-tiga matlamat di atas menunjukkan bahawa tujuan British memperkenalkan sistem pendidikan di Tanah Melayu adalah untuk kepentingan British sendiri iaitu untuk tujuan ekonomi dan politik dan bukannya untuk kepentingan kaum pribumi atau kaum pendatang. British tidak mempunyai sebarang niat untuk memajukan kaum pribumi mahupun kaum pendatang. " Matlamat utama sistem pendidikan penjajah ialah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada segolongan rakyat bagi membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi³ ". (Abdullah Sani & P. Kumar, 1990: 1)

4.2 Kesan Pendidikan Terhadap Orang Melayu
Secara umumnya cara pendidikan sekolah Melayu dikendalikan oleh pihak British telah gagal mendapat tempat di hati orang Melayu sendiri. Kehadiran anak – anak Melayu di sekolah – sekolah Melayu ketika itu bukanlah atas dasar keikhlasan hati untuk menuntut ilmu tetapi disebabkan oleh paksaan yang telah dikenakan oleh British dengan cara penguatkuasaan peraturan tersebut. Pencerobohan British ke atas sistem pengajian tradisional al – Quran sedikit sebanyak telah menyinggung hati orang Melayu. Matlamat sebenar pendidikan Melayu yang inginkan kemajuan yang setanding dengan orang orang yang terdapat di Tanah Melayu ketika itu telah tidak tercapai.
Anak – anak Melayu lepasan sekolah rendah Melayu, akan terus pulang ke kampung halaman mereka untuk bekerja sama ada sebagai petani, buruh, guru, polis atau peon. Boleh dikata di sini bahawa pelajar lepasan sekolah Melayu tidak mempunyai kerja yang mendatangkan nilai ekonomi yang kukuh.
Pentadbir – pentadbir British seperti R.J. Wilkinson,A.M Skinner dan juga R.O. Winstedt yang kelihatannya berminat dalam perkembangan pendidikan orang Melayu, sebenarnya bukanlah ahli – ahli pendidik yang boleh menyelami dan memahami cita – cita orang Melayu ketika itu. Keikhlasan mereka menjalankan tugas pada masa itu adalah diragui dan diakui sendiri oleh William R.Roff. Ibrahim Saad ( 1981 : 20 ) telah menerangkan :
Banyak orang menyangka bahawa Laporan Winstedt itu satu
pembaharuan tetapi mengikut Roff, Winstedt telah tidak memperduli-
kan perkembangan intelek Melayu. Ini disebabkan pada masa itu
ia sedang membina kemasyhurannya ( reputation ) sendiri dengan
menulis sejarah dan kesusasteraan Melayu.

Nasib masyarakat Melayu sehingga Perang Dunia Kedua masih lagi belum berubah, mereka hidup dalam keadaan yang serba daif, masih tidak mempunyai hala tuju. Orang kampung pada mulanya tertarik dengan sumbangan British terhadap pembinaan sekolah - sekolah Melayu, akhirnya sedar bahawa anak – anak mereka tidak akan maju walaupun mereka dihantar ke sekolah ataupun tidak . Abu Zahari ( 1980 ) telah merumus tentang kesan pendidikan Melayu ketika itu seperti berikut.
Pendidikan Melayu sengaja disalurkan mengikut dasar mengekalkan
kaum tani sehingga kurikulum Sekolah Melayu tidak berkembang
lebih daripada memberi pendidikan dasar selama empat tahun kecuali
latihan pengurusan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu
sesudah sekolah dasar.

Pendidikan Melayu tidak dapat memberi hasil dan kesan yang positif terhadap peningkatan taraf hidup dan keadaan sosial orang Melayu yang kebanyakkannya tinggal di kampung. Mereka semakin dihimpit dan kekal hanyut di dalam kemiskinan, walaupun pada masa itu, peluang – peluang perniagaan dan perindustrian yang berdasarkan kepada getah dan bijih timah terdapat di pekan – pekan. Kegagalan pemerintah Inggeris dalam sistem pendidikan dan seterusnya memajukan orang Melayu menerusi sistem tersebut telah menimbulkan semangat kebangsaan Melayu pada tahun 1930-an.
5.0 KESIMPULAN
5.1 Penutup
Melihat pada latar belakang pendidikan zaman penjajahan British, dapat kita membuat kesimpulannya di sini, bahawa pemerintah British atau pun kolonial tidak berminat untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan.
Persefahaman dan perpaduan dianggap tidak penting untuk dipupuk menerusi pendidikan. Justeru itu pihak British mengabaikan soal penggunaan bahasa pengantar dan kurikulum yang seragam serta pentadbiran yang terancang dan penubuhan satu sistem sekolah yang tunggal yang dapat mendidik dan menyatukan anak – anak daripada semua keturunan.
Sekolah – sekolah terpisah di antara satu dengan yang lain menurut kedudukan geografi dan taburan penduduk. Kebanyakan sekolah Melayu telah ditubuhkan di desa selaras dengan dasar mengekalkan orang Melayu di kampung – kampung. Sekolah Cina terdapat di kawasan perlombongan, perniagaan dan perindustrian kerana sebilangan besar orang Cina tinggal di kawasan – kawasan tersebut dan sekolah Tamil pula terdapat di ladang – ladang getah.
Tidak ada dasar mengenai bahasa pengantar yang tunggal. Sekolah Inggeris menggunakan bahasa Inggeris, sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, sekolah agama menggunakan bahasa Arab dan bahasa Melayu, sekolah Cina pula menggunakan bahasa Cina dan sekolah Tamil menggunakan bahasa Tamil.
Dalam pada itu juga boleh dikatakan bahawa tujuan – tujuan utama di sebalik pendidikan semasa penjajahan ialah untuk memastikan penjajahan Inggeris berterusan, mengekalkan eksplotasi ekonomi negara, memastikan bekalan tenaga kerja peringkat bawah untuk memenuhi keperluan – keperluan penjajah dan mengawal perkembangan semangat nasionalisme di kalangan penduduk tempatan.
Dengan corak pendidikan penjajah yang sebegitu rupa, maka terdapat dua kesan utama, iaitu sistem pendidikan yang tidak ada keselarasan dari segi objektif, matlamat, kurikulum dan perkaedahan dan kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri – cirinya yang tersendiri.

4 ulasan:

  1. assalamualaikum,trima ksh mohon share

    BalasPadam
  2. assalam...harap dpt guna bahan ini sbg rujukan utk bhn assignment...

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum, terima kasih tuan..mohon menjadi sumber rujukan sy..

    BalasPadam